Berita

Ibu Bapa Mesti Terlibat Dalam PIBG

PUTRAJAYA – Peranan ibu bapa bukan hanya terbatas dalam hal ehwal dan pegurusannya di rumah sahaja tetapi mereka mestilah turut serta dalam memberikan sumbangan serta idea untuk memastikan kecemerlangan anak-anak yang akan menjadi pewaris Negara pada masa hadapan, kata Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor.

“Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang ada di setiap sekolah adalah saluran utama bagi para ibu bapa mengetahui dan mengetengahkan cadangan atau berkongsi idea untuk  memastikan kelestarian pembelajaran anak-anak di rumah dapat dimanfaatkan di sekolah juga,” katanya dalam ucapan perasmian mesyuarat PIBG yang diadakan pada Sabtu (30 Mac 2012) di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2).

Jelasnya, ibu bapa perlu proaktif dalam hal-hal membabitkan anak-anak kerana kehidupan untuk pendewasaan mereka bermula di alam persekolahan.

“Jadikan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina sebagai contoh yang mana ibu bapa akan terlibat secara langsung dan sanggup mengorbankan masa untuk bersama-sama menjayakan mesyuarat PIBG kerana mereka tahu bahawa inilah platform bagi memastikan suasana persekitaran anak-anak di sekolah adalah yang terbaik,” katanya.

Pada hari tersebut beliau turut merasmikan mesyuarat PIBG di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 14 (1) di samping menyampaikan anugerah kepada para pelajar cemerlang di sekolah terbabit.