Berita

Penduduk Putrajaya Sepakat Tolak Niat Jahat Pembangkang

PUTRAJAYA – Wakil penduduk di sekitar Presint 8 dan 11 telah mengadakan tunjuk perasaan bertempat di Medan Selera Presint 8, semalam (5 April) dengan melonggokkan akhbar lidah rasmi Pas, Harakah dan mengoyakkan akhbar tersebut sebagai tanda protes ekoran tindakan beberapa ahli Pas yang mengedarkan akhbar Harakah, Selangor Kini dan Sinar Harian kepada para penduduk di sekitar kawasan tersebut.

Menurut Pengerusi Surau Al Ghazali Presint 8, Ustaz Mohd Khalyubi bin Abdul Majid, bantahan ini dibuat setelah teguran demi teguran terhadap ahli-ahli Pas yang mengedar akhbar tersebut tidak dipedulikan oleh mereka.

“Demonstrasi ini untuk membuktikan bahawa penduduk di sekitar kawasan ini sebulat suara tidak mahu dan menolak pihak Pas mengedarkan akhbar ini secara percuma kepada penduduk di sini. Kami tidak mahu ia diteruskan. Apatah lagi, sebahagian berita-berita yang tersiar di dalam akhbar tersebut lebih kepada menghasut masyarakat dalam usaha mereka untuk memburuk-burukkan kerajaan,” tegasnya.

Tambahnya lagi, beliau yakin hampir 90 peratus penduduk di sekitar Putrajaya ini tetap menyebelahi dan menyokong kerajaan biarpun pelbagai tohmahan dan fitnah yang telah dilemparkan oleh Pas dalam usaha mereka menarik undi masyarakat setempat.

Manakala menurut ketua komuniti penduduk Presint 8, Roslan Abu Hanif, penduduk di sekitar ini menolak kegiatan mengedar Harakah biarpun ia diedar secara percuma ekoran berita-berita yang tersiar di akhbar tersebut lebih banyak menyiarkan cerita-cerita yang tidak betul terhadap kerajaan.

“Kami sebagai penduduk di Putrajaya sudah melihat usaha kerajaan dengan mata kepala kami sendiri, terutama dalam penambaikan di kawasan kediaman kami. Rakyat nampak segala usaha kerajaan dan kami sebagai penduduk bersyukur kepada Allah dengan apa yang ada di Putrajaya hari ini.

“Jadi, masakan kami dapat menerima berita-berita yang ada dalam Harakah yang mengatakan itu tak cukup, ini tak ada, seolah-olah kerajaan langsung tidak berbuat sesuatu. Sedang segala usaha kerajaan terutama terhadap pembangunan dan infrastruktur di sini boleh dilihat oleh masyarakat awam,” jelasnya.

Seorang penduduk di Presint 11 Pangsapuri Putra Damai, Dean Rahmat pula berkata, perkara ini sudah berlanjutan hampir dua bulan lamanya. Sebelum ini, ramai diantara para penduduk di situ sudah pun membuat teguran kepada ahli-ahli Pas tersebut namun teguran mereka tidak dipedulikan.

“Malah mereka berhujah dengan kami mengatakan bahawa mereka juga mempunyai hak untuk menyampaikan perkembangan Pas kepada masyarakat setempat. Kami pun tidak menghalang mereka untuk meletakkan akhbar tersebut di peti surat kepunyaan penduduk di situ, namun apabila mereka selesai meletakkan akhbar tersebut di peti-peti surat penduduk di pangsapuri tersebut, maka giliran kami pula untuk melaksanakan hak kami sebagai penduduk di situ untuk mengambil semula akhbar tersebut dari peti-peti surat itu dan membuangnya,” tegas Dean.

Katanya lagi, tindakan segelintir ahli Pas yang mengedarkan akhbar Harakah secara percuma itu akhirnya mula menimbulkan tanda tanya dan rasa tidak puas hati dikalangan penduduk di situ.

“Kemudian kami telah mengadakan mesyuarat persatuan penduduk, dan majoriti daripada kami tidak setuju dengan edaran percuma akhbar tersebut. Selepas ini, kami membuat keputusan untuk tidak membenarkan sebarang orang luar yang ingin mengedarkan akhbar tersebut masuk ke kawasan kediaman kami,” ujarnya.

Setiausaha Kelab Pemuda Prihatin Putrajaya, Shafari Adly bin Mat Sharif pula mempertikaikan bagaimana akhbar tersebut boleh dijual, bahkan diedarkan secara percuma pula kepada masyarakat awam sedangkan permit penerbitan akhbar tersebut hanyalah khusus untuk ahli Pas sahaja.

“Saya minta agar pihak KDN memantau dan mengambil tindakan terhadap Harakah kerana telah melanggar akta penerbitan dengan menjual dan sekarang ini, mengedarkan secara percuma pula kepada masyarakat awam. Sepatutnya Harakah perlu mengikuti garis panduan penerbitan yang telahpun mereka persetujui.

“Tindakan perlu diambil terhadap mereka sebagai satu pengajaran. Ini bukan soal ketidakadilan dan sebagainya, ini adalah soal pelanggaran undang-undang dan akta penerbitan yang telah digariskan kerajaan. Saya harap pihak KDN memandang serius terhadap perkara ini,” katanya.

dipetik dari: umno-online.com