BeritaRencana

Ahli Parlimen Janji Akan Selesaikan Permasalahan Rakyat

PUTRAJAYA – Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor selaku ahli Parlimen tempatan telah berjanji untuk membantu menyelesaikan permasalahan penduduk tempatan khususnya berkaitan penjagaan anak-anak bagi ibu bapa yang bekerja dan terpaksa menghantar anak-anak ke rumah-rumah pengasuh.

Jelasnya, beliau menghargai usaha sesetengah pihak yang berniat ikhlas untuk membantu jiran-jiran yang bekerja iaitu dengan mengasuh anak-anak mereka.

“Saya amat memahami kesulitan yang dihadapi oleh golongan bekerja tetapi berdepan masalah untuk penjagaan anak-anak mereka terutamanya apabila pengasuh mereka terpaksa berdepan dengan peraturan yang ditetapkan, namun begitu saya berjanji untuk menyelesaikannya dengan mengadakan perbincangan dari bahagian Hartanah di Pejabat Perdana Menteri sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu agar usaha mengasuh anak-anak diteruskan agar ibu bapa yang bekerja dapat menumpukan tugas seharian mereka di pejabat.

Beliau berkata demikian dalam ucapan di majlis menyampaikan hadiah dalam program Hari Keluarga anjuran Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) Parlimen Putrajaya dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Wilayah Persekutuan bertempat di ruang legar Blok A & B, Fasa 4A Presint 8, Putrajaya.