Berita

Senam Sihat 1Malaysia Semarakkan Hubungan Rakyat Pelbagai Kaum

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru masyarakat tempatan untuk bersama-sama mengutamakan kesihatan biarpun berdepan dengan kesibukan sebagaimana pelaksanaan Program Senam Sihat 1Malaysia yang berlangsung pagi ini (Ahad, 29 April).

Katanya,  program tersebut bukan saja dapat menyemai sikap mengutamakan kesihatan tetapi ia juga dapat memberikan pengetahuan dan mengingati masyarakat dengan seni budaya rakyat sebagaimana lagu-lagu yang menjadi seni warisan Malaysia.

“Dengan penggunaan lagu-lagu warisan negara dalam progam ini iaitu lagu zapin, inang, joget, sumazau dan lain-lain lagi akan dapat menerap dan memperkenalkan kepada masyarakat seni warisan negara yang menjadi pusaka zaman berzaman,” katanya dalam ucapan perasmian program tersebut.

Bukan itu saja, katanya, rakyat juga akan dapat mempelajari kebudayaan bangsa lain melalui muzik yang digunakan yang menjadi entiti bagi masyarakat India, Cina dan lain-lain lagi.

“Inilah konsep 1Malaysia yang dapat menyelami kebudayaan masyarakat pelbagai kaum sebagaimana pengaplikasian hidup masyarakat majmuk, kesatuan dalam kepelbagaian.”

Tambahnya lagi, melalui program ini juga, masyarakat dapat mengeratkan hubungan silaturrahim dan menjalin permuafakatan melalui persefahaman dalam pelaksanaan program.