Terima Kasih BN, Penjawat Awam Bersyukur Terima Gaji Baru
PUTRAJAYA – Para penjawat awam yang mula menikmati gaji baru mereka di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 8 Mac lalu bersukur dengan jumlah diterima iaitu melibatkan peningkatan di antara tujuh hingga 13 peratus mengikut gred masing-masing selepas pemansuhan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).
Ahli Parlimen yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor yang melakukan tinjauan di sekitar Putrajaya telah berkesempatan menemui kakitangan awam yang baru sahaja menerima gaji pertama melalui SSM ini.
“Alhamdulillah, rata-rata kakitangan awam sangat gembira dan melahirkan penghargaan kepada kerajaan kerana amat prihatin dengan apa yang telah dilalui oleh rakyat dan mendengar keluhan penjawat awam sebelum ini,” katanya.
Beliau telah berkunjung ke Medan Selera di Presint 16 dan berkesempatan berbual sendiri dengan pengunjung di kawasan terbabit.
“Penjawat awam amat bersyukur dan akan memanfaatkan apa yang mereka nikmati kini, di samping mempertingkatkan mutu kerja selari dengan proses transformasi yang dilaungkan oleh kerajaan.”
Katanya lagi, kakitangan kerajaan juga sentiasa berazam untuk memperbaiki imej mereka di mata masyarakat.
Selain penerimaan gaji berdasarkan pelarasan yang terbaru itu, penjawat awam turut menerima tunggakan gaji sejak Januari lalu.
Beliau menegaskan, gaji baru itu membuktikan kerajaan sedia ada sememangnya mendengar keluhan masyarakat dan mengambil tindakan dalam memastikan kesejahteraan mereka terbela.