Aktiviti & KomunitiBerita

Larian Bendera ‘Sang Saka Bangsa’ di Parlimen Putrajaya

PUTRAJAYA – Bersempena sambutan ulang tahun UMNO ke-66, larian bendera parti ‘Sang Saka Bangsa’ peringkat bahagian menjelajah Putrajaya dilancarkan pagi ini , Sabtu (5 Mei) oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Khairudin Samad dengan acara larian bermula di UMNO Cawangan Bunga Matahari, Presint 9.

Larian bendera yang julung kali diadakan bagi menyemarakkan semangat perjuangan UMNO mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada masyarakat tempatan khususnya ahli-ahli UMNO dan generasi muda.

Turut hadi dalam larian yang akan berakhir di Pejabat UMNO Bahagian Putrajaya, Presint 15 ialah Ketua Pergerakan Wanita, Puan Saadiah Bakar, Ketua Pergerakan Pemuda Datuk Ahmad Zaki Zahid bersama-sama ahli jawatankuasa dan para penduduk tempatan.

Larian Bendera ini telah membuka tirai sambutan besar-besaran Ulang Tahun UMNO ke-66 pada 11 Mei nanti dengan berlangsung serentak di empat zon iaitu Utara, Pantai Timur, Selatan dan Sabah pada 1 Mei ini dan akan berakhir di Stadium Bukit Jalil pada 11 Mei nanti.

Sambutan pada kali ini juga menjanjikan kelainan dan pelbagai program telah diatur bermula 1 Mei sehinggalah 13 Mei ini dan karnival selama tiga hari berlangsung di Stadium Bukit Jalil.

Seterusnya, sambutan program larian pada 6 Mei, berlangsung di UMNO Bahagian Lembah Pantai bagi penyerahan bendera ‘Sang Saka Bangsa’  kepada Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Menteri Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar.