Berita

Hargai Pemimpin Berjiwa Rakyat

PUTRAJAYA – Pemimpin yang sebenar adalah seorang yang sanggup berkorban dan melaksanakan tanggungjawab tanpa melihat kepada balasan tetapi sentiasa memahami keperluan dan kehendak masyarakatnya.

Ketua UMNO Cawangan Ixora, Puan Zarinah Ismail amat menghargai keprihatinan wakil rakyat tempatan yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor khususnya dalam melaksanakan amanah untuk memastikan keselesaan rakyat tempatan.

“Selama beliau mentadbir Parlimen Putrajaya, beliau sentiasa turun padang, mengadakan pelbagai program kemasyarakatan, berusaha memahami masalah rakyat biarpun secara zahirnya dilihat bahawa kawasan ini tidak menghadapi kesulitan, tetapi beliau dapat menyelami kerumitan yang ada,” katanya.

Jelas beliau, Putrajaya adalah bandar terancang yang memiliki fasiliti lengkap tetapi dengan keprihatinan Tengku Adnan, jurang masyarakat yang ada dapat didekatkan selain memastikan hubungan kejiranan dan kekeluargaan menjadi keutamaan dalam pentadbiran.

“Selama ini saya tidak pernah berjumpa dengan mana-mana wakil rakyat yang seakan beliau, sanggup bekerja keras bagi memastikan semua masyarakat di sini mendapat keselesaan dan kesejahteraan terbaik,” katanya lagi dalam ucapan aluan sempena program Juara Rakyat peringkat cawangannya, hari ini, (Sabtu, 12 Mei).