Aktiviti & KomunitiBerita

Hayati Perjuangan, Asas dan Tujuan UMNO Ditubuhkan

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen merangkap Ketua UMNO Bahagian, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor mengingatkan ahli-ahli parti agar terus menyelami perjuangan dengan memahami matlamat dan tujuan UMNO ditubuhkan lantas tidak terpengaruh dengan pelbagai manipulasi yang ditimbulkan sesetengah pihak bagi mengelirukan anggota parti.

Katanya, perjuangan UMNO tidak pernah terpesaong sebaliknya ia sentiasa memperteguh kekuatan dan keteguhan demi agama, bangsa dan negara.

“Kita sentiasa menerapkan prinsip perjuangan Islam malahan Putrajaya ini sendiri ditubuhkan berlandaskan konsep sebuah bagaimana Rasulullah SAW membangunkan kota Madinah ketika mula-mula berhijrah iaitu membina sebuah masjid sebagaimana Putrajaya yang dimulakan dengan pembinaan Masjid Putra dan kemudiannya diikuti pusat pentadbiran kerajaan dan pembangunan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena perasmian program Juara Rakyat Cawangan Ixora, hari ini (12 Mei).

Dalam masa yang sama beliau amat menghargai sokongan yang telah diberikan oleh ahli-ahli UMNO dan masyarakat keseluruhannya dalam membangunkan negara bersama UMNO.