Berita

Sematkan Perpaduan, Pertingkat Keselamatan Untuk Kesejahteraan

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru rakyat khususnya para penduduk Putrajaya agar menerapkan semangat kecintaan terhadap kawasan terbabit bukan sahaja atas inisiatif sebagai kawasan tempat tinggal tetapi apa yang lebih penting adalah kedudukan Putrajaya sebagai bandar contoh dan termaju di negara ini.

Katanya, para penduduk tempatan haruslah menyemai rasa tanggungjawab untuk memastikan kelestarian Putrajaya terus terpelihara dengan bersama-sama pihak berkuasa bagi menjaga kemudahan awam yang telah disediakan.

“Kita adalah penghuni di kawasan ini yang mempunyai amanah untuk memastikan bandar terancang dan termaju yang menjadi contoh kepada bandar-bandar lain berada dalam keadaan terpelihara sama ada dari segi kebersihannya, keindahan dan memelihara semua frasarana yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis pelancaran Sambutan Minggu Perpaduan dan Program Jom Ronda (Midnight walk) peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya yang berlangsung di Fasa 4D, Sabtu lalu (19 Mei 2012).

“Saya amat mengharapkan agar para penduduk bekerjasama, bersatu padu dan rukun dalam memastikan kesejahteraan kawasan sekitar Putrajaya,” katanya lagi yang turut menghasilkan idea kreatif baju T-shirt ‘I Luve Putrajaya’.