Berita

Belia Hari Ini Mampu Manifestasikan Kejayaan Negara Pada Masa Depan

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor kagum dengan kesungguhan para belia yang berkampung di sini sempena Himpunan Jutaan Belia 2012 berlandaskan disiplin tinggi yang membuktikan masyarakat, kepimpinan dan suasana pada masa hadapan.

“Saya mengucapkan syabas kepada belia kita yang membanjiri Putrajaya dan dengan apa yang telah ditunjukkan menjadi bukti bahawa inilah belia harapan bangsa yang cintakan keamanan dan dapat berkumpul dalam satu komuniti mesra biarpun berbilang agama, pelbagai kaum dan berlainan budaya,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya turut serta dalam memeriahkan perhimpunan terbesar golongan belia yang bertemakan ‘Jadikan Hari Esok Lebih Baik Dari Hari Ini’, dengan merasmikan Lorong Seni sempena Himpunan Jutaan Belia di sini hari ini (26 Mei 2012).

“Saya yakin kalau kita semua tidak ‘democrazy’ Malaysia akan terus maju berteraskan perkembangan belia hari ini. Janganlah hancurkan apa yang telah dibina selama 55 tahun kerana Malaysia milik kita, apatah lagi kerajaan yang ada ini adalah kerajaan yang sentiasa menepati janji.”

Dalam kunjungan di Lorong Seni, beliau telah berkesempatan mendengar bacaan puisi karya Sasterawan Negara, Usman Awang yang dibacakan dalam enam bahasa dengan kreatif iaitu belia Melayu berbahasa Inggris, Cina bahasa Melayu, India berbahasa Manderin termasuk juga bahasa Kadazan Dusun, Iban dan Tamil yang jelas menunjukan Malaysia adalah sebuah negara yang unik.