Fahami Prinsip Raja Berperlembagaan, Daulat Tuanku!
PUTRAJAYA – Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru masyarakat tempatan agar mensyukuri nikmat yang dikurniakan selain memahami Perlembagaan Malaysia yang meletakkan Yang Di-Pertuan Agung sebagai kuasa eksekutif Malaysia.
Katanya, peranan Raja dalam sistem Raja Berperlembagaan perlu dihayati oleh setiap lapisan masyarakat sebagaimana pentingnya memahami prinsip Rukun Negara yang meletakkan ‘Kesetiaan kepada Raja dan Negara’ di tangga kedua selepas ‘Kepercayaan kepada Tuhan’.
“Janganlah jadi rakyat Malaysia yang tidak bersopan satun, minta derhaka dengan Tuanku seperti manusia yang tidak beradat, kalau berceramah berdegar-degar kelirukan rakyat tetapi Rukun Negara pun tak hayati. Inilah masalah manusia yang kecewa dan mempunyai penyakit hati, gila kuasa dan akan menganas kalau cita-cita mereka tak sampai,” tegasnya.
Beliau berkata demikian bersempena Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hamimah, hari ini (2 Jun 2012).
Ujarnya lagi, janganlah nanti ada di kalangan rakyat yang bercakap tanpa berfikir lantas menyesal di kemudian hari lantaran kebiadaban terhadap Baginda Yang Di-Pertuan Agung.