Berita

Tahniah KSN Baru, Dr Ali, Terima Kasih Tan Sri Sidek

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor bersama-sama semua warga Putrajaya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baru, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa serta berterima kasih dan amat menghargai KSN sebelum ini, Tan Sri Mohamad Sidek Hassan.

Dr Ali, 57, mengantikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang telah berkhidmat selama 38 tahun dalam perkhidmatan awam.

“Kami amat menghargai jasa dan khidmat bakti Tan Sri Mohd Sidek selama menjawat KSN dan berdoa agar beliau sentiasa memberikan sokongan atas apa yang diusahakan kerajaan.

“Kami juga mengalu-alukan KSN baru, Dr Ali dan berharap agar beliau akan dapat meneruskan teraju kecemerlangan pentadbiran awam serta membantu negara mencapai sebuah negara maju.”

Dr Ali menyertai perkhidmatan awam pada tahun 1981 sebagai penolong pengarah di Kementerian Perdagangan dan Industri Antarabangsa (Miti) selepas lulus ijazah sarjana muda dari Universiti Malaya.

Beliau sebelum ini menyandang jawatan sebagai ketua pengarah Unit Kerjasama Awam-Swasta yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri.