Isu Semasa

Terlalu Kerap Bercakap Bohong, Anwar Tidak Dapat Terima Kenyataan

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor membidas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersikap bermuka-muka dan tidak menceritakan keadaan sebenar sebagaimana yang berlaku sebaliknya diputarbelitkan dengan membandingkan Malaysia dan negara luar.

“Inilah masalahnya apabila cenderung menikmati kehidupan dalam pembohongan maka apabila timbul kebenaran, pahitnya amat terasa sekali sehinggakan tidak dapat menerima hakikat,” katanya.

Semalam, dalam perbahasan di Parlimen Anwar, telah menganggap Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) sebagai kurang bijak yang merujuk kepada laporan daripada Jawatankuasa International Fact-finding Mission on Election dengan mengatakannya menyelar Indonesia dan menganggap bahawa Malaysia dan rakyatnya tidak sedia menerima kebebasan dan demokrasi.

“Saya telah memberi pandangan yang jelas berkaitan demokrasi dan kebebasan malah kerajaan sentiasa membuka pintu dan peluang kepada mana-mana pihak untuk menyuarakan pendapat berlandaskan kepada saluran yang betul namun ini tidak bermakna menggunakan demonstrasi jalanan sebagai pilihan utama,” katanya kepada UMNO-Online.

Pada 26 April lalu, Jawatankuasa International Fact-finding Mission on Election telah mengadakan pertemuan dengan Tengku Adnan di Ibu Pejabat BN dan dalam kesempatan tersebut, beliau telah menyelar pakatan pembangkang yang seringkali melakukan provokasi dan menuduh kerajaan tidak berlaku adil serta ada campurtangan dalam urusan Pilihan Raya Umum (PRU) termasuklah PRU ke-12 yang lalu.

“Saya sedia maklum bahawa jawatankuasa tersebut kebanyakannya adalah dari pihak pembangkang di negara mereka tetapi saya tidak menghalang ianya yang dibuat atas jemputan ketua pembangkang, kerana kita sentiasa bersikap terbuka dan telus dalam membuat keputusan; apatah lagi BN yang menjadi tunjang negara ini mempunyai struktur, dasar dan hala tuju yang jelas.

“Pembangkang membuat tuduhan dengan mengatakan PRU tidak telus dan berlaku penipuan sedangkan mereka sendiri telah membentuk kerajaan dan berkuasa di lima negeri selain memenangi 82 daripada 222 kerusi Parlimen. Sekiranya kita tidak telus adakah kita akan memberikan mereka peluang untuk menang,” tegasnya.

Ujarnya lagi, sekiranya jawatankuasa terbabit yang memberikan laporan kepada ketua pembangkang menganggap bahawa Malaysia dan rakyatnya tidak bersedia untuk menerima kebebasan dan demokrasi maka tentunya ia timbul ekoran daripada perbandingan yang diwujudkan oleh salah seorang anggotanya dari Indonesia berkaitan pelaku demonstrasi di Malaysia dan negaranya.

“Saya telah terangkan bahawa Malaysia adalah berbeza dengan Indonesia di mana di sana para demonstrasi boleh dibayar dan ia sudah ibarat satu pekerjaan kepada mereka sedangkan di negara ini tidak sedemikian. Malahan terdapat ejen-ejen yang menawarkan perkhimatan untuk mengatur demonstrasi jalanan dengan upah tertentu tergantung kepada bilangan peserta, masa dan tempat .

“Tambahan pula, rakyat di negara ini masih lagi trauma dengan kejadian rusuhan 1969 yang telah mengorbankan banyak nyawa dan kita tidak mahu ia berulang. Apatah lagi telah jelas bahawa demonstrasi jalanan di Malaysia digerakkan oleh pembangkang yang umumnya mengundang kepada kejadian huru-hara.

“Saya juga telah menjelaskan pendirian BN tentang undang-undang yang terkandung dalam Perlembagaan selain peraturan SPR dan jika benar UMNO dan BN ada mencampuri kerja-kerja dalam pilihan raya dan berlaku penipuan maka tentulah pembangkang tidak akan menang sampai lima negeri dalam PRU yang lalu.

Ujarnya, Malaysia adalah sebuah negara yang unik dengan mempunyai kepelbagai bangsa, perbezaan agama dan budaya yang berlainan tetapi masih mengekalkan konsep demokrasi dengan masyarakat di dalamnya dapat hidup rukun dan aman serta mengamalkan budaya dan ritual keagamaan masing-masing.

“Malaysia adalah berbeza dengan negara-negara lain bukan sahaja bangsa yang pelbagai tetapi juga mempunyai etnik yang berbeza-beza sebagaimana Melayu dengan etnik Jawa, Banjar, Patani dan macam-macam lagi sedangkan jika mahu dibandingkan dengan Indonesia pun, mereka tidak membenarkan bangsa Cina menggunakan nama mereka sendiri.”

Bidasnya lagi, pembangkang di negara ini hanya menggunakan NGO sebagai alat demonstrasi jalanan dan rakyat diperalatkan sedangkan jika mahu berpolitik maka berpolitiklah dengan cara yang betul.

Kunjungan Jawatankuasa International Fact-finding Mission on Election in Malaysia’ tersebut telah ini dihadiri oleh Dr. Mohd Nasir Tamara Tamimi (Indonesia), Juliane Schmucker (Jerman-FNS), Senator Hasil Bizenjo (ahli Parlimen – Pakistan), Dean Amado valdez (Filipina – Dekan University of the East), Mj Akbar (India – Ketua Pengarang India Today), Senator Nick Xenophon (Australia – Senator), Dr. Clinton Fernandez (Australia – Associate Professor University NSW, Australia) dan Mdm. Nelita Valdez (Filipina). -MediaUMNO