Berita

MPKB Pikul Amanah Bantu Ringakan Beban Masyarakat

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen tempatan merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru anggota Majlis Perwakilan Kesejahteraan Bandar (MPKB), Wilayah Persekutuan Putrajaya untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan ikhlas dan dedikasi.

Katanya, sebagaimana kewujudan MPKB sendiri maka anggotanya perlulah mempunyai pemahaman dan usaha yang tinggi untuk menangani isu-isu perbandaran dan meningkatkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada penduduk setempat.

“MPKB ini adalah contoh dan cermin masyarakat yang sentiasa melihat dan memantau kita untuk dijadikan contoh dan panduan kepada yang lain kerana hanya di Putrajaya ini saja yang ada satu-satunya Majlis khusus bagi melicinkan pentadbiran dari peringkat atasan hinggalah ke akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis Juara Rakyat anjuran MPKB, Wilayah Persekutuan Putrajaya di Litar Decare Park, Putrajaya pada Sabtu (23 Jun 2012).

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Datuk Abdul Ghani Ahmad, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Bandar, Perbadanan Putrajaya.