Hargai Kesejahteraan, Kasihi Ibu Bapa & Hormati Guru
PUTRAJAYA – Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru masyarakat khususnya para pelajar dan generasi muda agar menghargai apa yang dinikmati hari ini khususnya dari aspek pembelajaran yang akan menjadi perintis kepada kemajuan masa hadapan.
Katanya, para pelajar bukan sahaja perlu mensyukuri nikmat yang dilimpahkan tetapi juga perlu menghargai jasa dan pengorbanan ibu bapa yang sentiasa mahu memberikan yang terbaik untuk anak-anak selain memberikan penghormatan tertinggi kepada guru-guru yang berusaha untuk mendidik para pelajarnya.
“Segala kesenangan dan kemudahan yang kita rasai hari ini tidak datang dengan mudah tetapi ia hadir dengan usaha dan kerja keras kepimpinan terdahulu jadi generasi muda perlulah tahu menghargai dan mensyukuri setiap apa yang dirasai,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Karnival Kerjaya dan Kesihatan Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya 2012 bertempat di SMK Putrajaya Presint 9(1), anjuran Pejabat Pelajaran Wilayah Persekutuan Putrajaya (PPWPP), dengan tema ‘Sains dan Teknologi Menjana Ekonomi Negara’ hari ini, Khamis (12 Julai 2012).
“Kerajaan sentiasa memberi ruang, sokongan dan dorongan kepada para pelajar untuk menuntut ilmu dengan menyediakan frasarana yang pelbagai dan moden bagi keselesaan para pelajar dan warga pendidik. Justeru, peluang tersebut perlu diambil sebagai manfaat untuk mencipta kecemerlangan bukan saja kepada sekolah ini tetapi kepada agama, bangsa dan negara,” tegasnya.