Berita

Putrajaya Hargai Khidmat Bakti, Terima Kasih Tan Sri Samsudin

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen tempatan merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor mewakili seluruh anggota Parlimen dan para pendududuk di sini melahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Samsudin Osman yang akan mengakhiri tugasnya sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya pada 31 Julai ini.

“Warga Putrajaya amat terhutang budi kepada Tan Sri Samsudin yang telah banyak menaburkan jasa, menyumbang idea dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap pembangunan dan kemajuan Putrajaya yang menjadi mercu tanda pusat pentadbiran kerajaan. Sesungguhnya, kami semua amat terharu dan berasa amat terhutang budi kepada beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas bersama-sama menghadiri majlis makan malam penghargaan kepada Tan Sri Samsudin yang diadakan di Dewan Sri Siantan, Putrajaya pada 19 Julai (Khamis). Tan Sri Samsudin yang di lahirkan di Johor Bahru pada tahun 1947 telah menyandang jawatan Presiden Perbadanan Putrajaya bermula dari 1 Ogos 2004 dan sepanjang pentadbiran beliau, Putrajaya telah berkembang dan semakin dikenali di persada antarabangsa.