Berita

Tingkatkan Perpaduan Untuk Elakkan Perpecahan

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menggesa masyarakat untuk meningkatkan perpaduan di kalangan umat Islam dan rakyat keseluruhannya bagi mengelakkan krisis dan perpecahan yang boleh mengundang malapetaka berlaku.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Pendidik dan Perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 9 (2), pada 26 Julai 2012 (Khamis).

Dalam ucapannya beliau menyeru para hadirin yang terdiri daripada 500 warga pendidik dan ibu bapa untuk terus meningkatkan semangat perpaduan bagi mengelakkan berlakunya krisis persaudaraan sebagaimana yang tercetus di Syria.

“Masyarakat kita menyambut Ramadhan dalam keadaan yang ceria jika mahu dibandingkan dengan negara Islam yang lain, negara Islam lain kini berhadapan dengan cabaran hidup, pergolakkan bersaudara sebagaimana berlakunya pertumpahan darah di Syria,” katanya.

Turut sama dalam majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor dan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong.

Datuk Seri Utama Tengku Adnan turut dilantik sebagai bapa angkat kepada sekolah berkenaan.