Maidatul Rahman Putrajaya Sematkan Semangat Kerjasama & Keinsafan
PUTRAJAYA – Maidatul Rahman yang berkonsepkan program berbuka puasa bersama para penduduk setempat dan pengunjung sekitar Putrajaya yang berlangsung sepanjang Ramadan ini bukan saja dapat memupuk semangat kerjasama dan perpaduan tetapi ia juga mencetuskan keinsafan dan kesedaran.
Anggota Parlimen Putrajaya Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor berkata rakyat di negara ini perlu sentiasa mensyukuri nikmat yang diterima bukan hanya berkat dari kesejahteraan tetapi juga limpahan rahmat khususnya juadah harian yang pelbagai dalam bulan Ramadan.
“Alhamdulillah, kita dapat menjalani puasa di bulan Ramadan dan sepenuh kesyukuran dipanjatkan kerana kita dapat menunaikan ibadah puasa ini tanpa sebarang keuzuran selain pengisian-pengisian penting dalam bulan barakah ini,” katanya.
Maidatul Rahman berlangsung hingga 23 Ramadan di Medan Selera Presint 8 dimulakan sejak hari pertama Ramadan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari pengunjung dan warga Putrajaya yang secara tidak langsung bertujuan menolong fakir-fakir miskin dan juga golongan bekerja di sekitar kawasan terbabit.
“Program ini penting untuk mengeratkan hubungan silaturrahim warga Putrajaya selain amalan gotong-royong dalam penyediaan juadah serta dapat menyemarakkan amalan bersedekah,” ujarnya lagi.