Berita

Presiden Perbadanan Putrajaya Yang Baru Janji Beri Perkhidmatan Terbaik

PUTRAJAYA – Tan Sri Aseh Che Mat yang memulakan tugas sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) hari ini berjanji akan menyediakan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan.

Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menggunakan pendekatan turun padang untuk mendekati peringkat akar umbi bagi mendengar dan memahami permasalahan yang dihadapi penduduk di sini.

“Saya akan mengadakan perjumpaan dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO), persatuan-persatuan penduduk di sini dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada semua penduduk dan pelanggan PPj… Saya amat menghargai maklum balas.

“Kepimpinan melalui teladan. Saya juga menggalakkan semua pegawai dan kakitangan PPj turun padang untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas mengetip kad perakam waktu di pejabatnya di sini hari ini.

Aseh menggantikan Tan Sri Samsudin Osman yang menyandang jawatan Presiden PPj kedua selama lapan tahun sejak 1 Ogos 2004. Kontrak Samsudin tamat semalam. Aseh, 61, yang berpengalaman dalam hal ehwal keselamatan sepanjang berkhidmat dalam kerajaan, terutama di Kementerian Dalam Negeri, mahu semua pegawai dan kakitangan PPj meneruskan usaha untuk menjadikan pusat pentadbiran ini model kepada Pihak Berkuasa Tempatan yang lain.

“Saya berharap semua lapisan kakitangan PPj akan berusaha mencapai matlamat PPj. Kita perlu kreatif dan melakukan penambah baik dari semasa ke semasa,” katanya.

Aseh berjanji kebersihan di pusat pentadbiran ini akan sentiasa diberi keutamaan agar ia setanding dengan ibu kota dan bandar raya utama di luar negara.

“Selain itu, kita perlu memastikan Putrajaya selesa didiami dan bebas daripada penyakit denggi,” katanya.

Aseh berkata beliau telah mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pagi tadi sebelum memulakan tugas untuk berbincang lebih lanjut mengenai pembangunan Putrajaya.