Berita

Manfaatkan Gedung Ilmu Ke Arah Insan Berwawasan – Datuk Seri Tg. Adnan

PUTRAJAYA – Kemudahan awam termasuklah perpustakaan adalah antara fasiliti yang disediakan oleh kerajaan Barisan Nasional atas keprihatinan terhadap keperluan masyarakat khususnya golongan belia muda dan para pelajar.

Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru para penduduk untuk menggunakan kemudahan yang disediakan dengan semaksimumnya dengan mengaplikasikan barangan dan kemudahan yang disediakan dalam perpustakaan untuk kajian dan pembelajaran seharian.

“Perpustakaan disediakan bukan saja sebagai tempat untuk menelaah pelajaran tetapi ia juga adalah pusat terbaik untuk perkembangan minda bagi kalangan kanak-kanak dan pelajar khususnya untuk menyemai idea-idea baru dan menanamkan semangat cintakan ilmu pengetahuan melalui pembacaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan ke Pusat Perkhidmatan Pembelajaran yang terdapat di Pusat Komuniti Presint 16, Putrajaya pada Sabtu (22 September)

Katanya, ibu bapa dan guru-guru sewajarnya menjadi pendorong kepada anak-anak dan para pelajar agar menjadikan perpustakaan sebagai wahana terbaik untuk menambahkan pengetahuan dan mencambahkan fikiran.

“Kerajaan sentiasa menjadikan keperluan dan keselesaan rakyat sebagai keutamaan dengan mewujudkan lebih banyak gedung-gedung ilmu sebagai alternatif ke arah masyarakat yang bukan saja bijak tetapi kritis dalam membuat keputusan.”

Parlimen Putrajaya mempunyai lima buah perpustakaan awam yang lengkap dengan bahan-bahan bacaan dan frasarana terbaik untuk para penduduknya.

“Saya amat berharap agar kemudahan yang ada ini digunapakai dan dapat menjana kepada melahirkan modal insan yang seimbang selaras dengan agenda kerajaan dalam Wawasan 2020 tanpa menjadikan perpustakaan yang ada ibarat ‘gajah putih’ semata-mata,” tegasnya lagi.