Aktiviti & KomunitiBerita

‘Potluck’ Semarakkan Budaya Tradisi Dalam Kehidupan Moden

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor menyambut baik program komuniti ‘Potluck Dinner’ yang berlangsung di Dataran Camelot Taman P9B 1/5 Presint 9, Sabtu lalu (22 September) sebagai salah satu agenda bagi menyemarakkan budaya tradisi dalam masyarakat moden.

Katanya, biarpun kehidupan masyarakat di Putrajaya telah diisi dengan kemajuan dan pembangunan tetapi kebersamaan dalam masyarakat dengan para penduduk bekerjasama, hidup rukun dan harmoni di samping saling memberi dan menerima tetap diutamakan.

“Potluck dinner adalah salah satu usaha murni dalam memastikan para penduduk bukan saja mampu menjalin silaturrahim tetapi dapat juga merasa ‘air tangan’ jiran tetangga masing-masing biarpun kebanyakkannya sibuk bekerja di siang hari,” katanya.

Dalam program tersebut, lebih dari 200 orang penduduk tempatan melibatkan 56 keluarga yang berkumpul dan saling menikmati setiap juadah yang dibawa oleh setiap keluarga dengan mewakili satu menu.

“Inilah semangat 1Malaysia yang sememangnya amat dituntut iaitu kesatuan dalam kepelbagaian yang melibatkan usaha bersama memakmurkan kawasan tempat tinggal dengan kelainan yang menjadikan ia amat menarik dan istimewa,” katanya

Dalam majlis tersebut, pelbagai menu turut disajikan yang bukan saja melibatkan juadah masakan kampung tetapi hidangan barat turut ada termasuklah makanan Itali sepeti lasagnia, spageti dan makanan pencuci mulut yang beraneka rupa.

Lebih istimewa, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya turut memberikan sumbangan makanan berupa rendang daging yang menjadi antara makanan kegemaran masyarakat Malaysia.

Sebelum itu, dalam ucapannya beliau turut mengingatkan anggota masyarakat untuk terus menggiatkan usaha bagi memastikan setiap individu yang layak mengundi agar berdaftar dan memberikan undi kepada kerajaan yang bertanggungjawab iaitu Barisan Nasional.

“Bagi yang mengundi di luar kawasan maka pulanglah ke kawasan masing-masing apabila tibanya hari pengundian dengan berbekalkan amanah dan memberikan penerangan sebenar kepada masyarakat di kawasan masing-masing tentang agenda kerajaan yang sebenar.”

Majlis tersebut turut diserikan dengan program ilmu dari SYABAS yang memberikan penerangan berkaitan pengurusan dan perawatan air yang secara tidak langsung memberi iktibar kepada para penduduk untuk menggunakan bekalan air dengan cermat.

Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada pengerusi program terbabit, Saudara Isa dan Setiausahanya, Tuan Haji AT Mutallib serta anggota jawatankuasanya yang telah bertungkus lumus mengusahakan program tersebut hingga menjadi realiti.