Terima Kasih, Warga Putrajaya Hargai Keprihatinan Menteri & Presiden PPj
اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ
Salam 1Malaysia
Selaku anggota Parlimen Putrajaya, saya dan warga di sini amat menghargai keprihatinan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Tan Sri Aseh Che Mat yang sentiasa memahami aspirasi masayarakat tempatan.
Bukan saja dalam hal-hal melibatkan urusan rasmi tetapi dalam program santai sebagaimana pertandingan memancing yang baru berlangsung hujung minggu lalu amat memberangsangkan apatah lagi Presiden PPj, Tan Sri Aseh telah memberi kebenaran kepada para peserta terlibat untuk meneruskan acara sehingga ke tengah malam hari tersebut.
Acara yang telah dihadiri oleh lebih dari 8,000 peserta ini bukan hanya disertai oleh masyarakat tempatan tetapi ia turut menarik anggota masyarakat dari kawasan luar Putrajaya yang bukan saja untuk turut serta memeriahkan pertandingan tersebut tetapi secara tidak langsung menikmati panorama indah tasik Putrajaya.
Selain daripada tarikan hadiah lumayan yang disediakan melibatkan sebuah kereta produa Myvi untuk hadiah perdana, terdapat juga hadiah untuk cabutan bertuah melibatkan lima buah motosikal dan barangan elektrik.
Sememangnya, acara memancing adalah antara ‘kegilaan’ kaki pancing dengan kepuasan dirasai apabila mendapat hasil selain dapat melibatkan anggota keluarga bersama-sama untuk menikmati suasana nyaman di persekitaran Putrajaya.
Lebih menarik, dalam program tersebut, bukan hanya kaki pancing yang terlibat tetapi ‘tukang masak’ turut serta menunjukkan kepakaran dalam menyediakan juadah ikan air tawar.
Sesungguhnya, kejayaan program sedemikian tidak akan dapat dicapai tanpa adanya kerjasama dan sokongan penuh daripada Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Tan Sri Aseh Che Mat, urus setia dan masyarakat keseluruhannya.
Semoga dengan kelestarian jalinan tersebut akan menambahkan kemakmuran, kemajuan dan kelancaran pentadbiran Parlimen Putrajaya dengan para penduduknya menghargai agenda kerajaan.
‘We Love Putrajaya’
TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR
Ahli Parlimen Putrajaya