PDM Siap Siaga Pertahan Putrajaya Untuk PRU-13
PUTRAJAYA – Biarpun tarikh pengundian masih belum diketahui tetapi UMNO Bahagian Putrajaya telah bersiap sedia bagi memastikan Parlimen tersebut terus menjadi mandat Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang dengan memastikan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di setiap kawasan bergiat proaktif.
Selaras dengan amanah untuk melaksanakan tugas menjelangnya PRU nanti, mesyuarat melibatkan anggota PDM telah diadakan dengan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen merangkap Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor.
Mesyuarat tersebut telah diadakan di Bilik Mesyuarat, Pejabat UMNO Bahagian Putrajaya, dengan dipecahkan kepada beberapa bahagian yang melibatkan Pengerusi PDM dan timbalannya dan dilaksanakan dalam sesi berasingan iaitu pada 2 dan 3 Oktober.
Dalam mesyuarat tersebut, Datuk Seri Utama Tengku Adnan telah mengingatkan setiap anggota agar memahami tugas yang diamanahkan dan melaksanakannya dengan rasa penuh keikhlasan demi perjuangan agama, bangsa dan negara.
Selaras dengan itu, beliau menekankan semua anggota PDM untuk mengaktifkan ‘1 Hari 1 Program’ dan melihat semula daftar pengundi yang ada selain mengagihkan tugasan atas semangat kerjasama yang erat.
Anggota PDM juga diminta untuk menjadikan setiap peristiwa seharian sebagai alternatif bagi melaksanakan tugas dan merapatkan hubungan dengan masyarakat misalnya menjelangnya peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang mana Pengerusi PDM akan mewakili Ahli Parlimen untuk mengagihkan alat tulis kepada kawasan masing-masing.