Berita

Raikan Deepavali Dengan Kesyukuran Atas Semangat Kesatuan Dalam Kepelbagaian

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru masyarakat khususnya bangsa India yang bakal meraikan Deepavali pada Selasa depan agar mensyukuri kesejahteraan negara dan menikmati kehidupan harmoni yang disemai dengan semangat kesatuan dalam kepelbagaian.

Katanya, sebagai rakyat yang bertanggungjawab dan tahu menghargai sewajarnya setiap anggota masyarakat berterima kasih kepada kerajaan yang amat prihatin dan sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat.

“Masyarakat pelbagai peringkat di sini merasai arus kemodenan hasil daripada pembangunan dan perancangan yang dilaksanakan oleh kerajaan, menyediakan frasarana terbaik bukan saja dari keadaan tempat bekerja tetapi tempat tinggal dan persekitaraan yang sangat selesa,” katanya.

Jelas beliau, dengan landasan perjuangan yang telah digariskan oleh kepimpinan pelbagai kaum melalui BN, masyarakat India bersama bangsa lain di Malaysia perlu terus memelihara keharmonian yang ada tanpa terpengaruh dengan manipulasi yang dilakukan pihak lain.

“Hanya BN satu-satunya parti yang benar-benar mengamalkan perkongsian kuasa dalam masyarakat pelbagai kaum sedangkan pihak pembangkang yang mendakwa sedemikian sebenarnya gagal dalam merealitikan kesatuan dalam kepelbagaian sebagaimana yang dilaksanakan oleh BN,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dihadapan sekitar 400 orang masyarakat India sempena Majlis Makan Malam Deepavali yang terdiri daripada para pengundi tempatan di Dewan Serbaguna Kompleks Kejiranan Presint 9, malam ini, Khamis (8 Nov 2012).

Turut hadir sama isteri beliau Datin Seri Utama Datin Anggeraini Santiaki, serta Datuk Khairudin Samad dan isteri Datin Norni dan kakitangan pejabat Khidmat Masyarakat Parlimen Putrajaya.

Sebelum itu, turut berucap dalam majlis tersebut ialah Ketua Bahagian MIC Putrajaya, Ganapathy yang menyatakan ikrar untuk terus taat setia kepada Barisan Nasional dan menyokong kepimpinan yang ada menjelang Pilihan Raya kelak.

Dalam majlis ini, Datuk Seri Utama Tengku Adnan turut menyampaikan cenderahati, sumbangan dan kad ucapan menjelangnya Deepavali kepada masyarakat India yang hadir pada majlis tersebut.

Acara cabutan bertuah dengan pelbagai barangan berharga turut berlangsung dengan meriah membabitkan pelbagai barangan elektri dan keperluan harian.