Persepsi, Musuh Utama UMNO Baiki Imej
Bahang pilihan raya umum ke-13 dijangka menyelubungi suasana Perhimpunan Agung UMNO hujung bulan ini. Perhimpunan parti Melayu terbesar itu tentunya menarik perhatian luar biasa, bukan sahaja oleh anggota parti malah merangsang pemerhati politik tempatan dan antarabangsa.
Bagi Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, 2,674 anggota perwakilan yang akan berkampung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mulai 26 Nov hingga 1 Dis ini akan diarah tumpuan kepada agenda kesiapsiagaan parti menanti paluan gendang pilihan raya.
Di sebalik keghairahan berhimpun dan berbahas, perwakilan diingatkan tidak menjadikan perhimpunan itu platform menonjolkan diri sebagai calon pilihan raya.
Berikut antara intipati temubual beliau bersama wartawan Bernama Sharifah Nur Shahrizad Syed Mohamed Sharer, Mohd Yusof Saari dan Noor Farhana Ahmad Norain di ibu pejabat Umno di sini.
BERNAMA: Setakat ini bagaimana persiapan UMNO untuk menjayakan Perhimpunan Agung UMNO 2012?
TENGKU ADNAN: Persiapan untuk perhimpunan kini memasuki fasa terakhir terutama dari aspek keselamatan, kita tingkatkan bagi mengelak perkara-perkara yang tidak disenangi daripada berlaku. Apabila melibatkan jumlah kehadiran yang ramai macam-macam boleh berlaku.
Perhimpunan akan bermula dengan Seminar Penerangan Perdana pada 24 Nov diikuti dengan Forum Antarabangsa bertajuk ‘The Conflict and Concilation in the People’s Politics: Looking Back or Looking Forward’ pada 26 dan 27 Nov.
Kita menjemput banyak parti dari luar negara…selain mengambil peluang hadir pada perasmian perhimpunan agung, mereka juga boleh duduk bersama dalam forum, berkongsi cerita keadaan politik negara masing-masing dan bertukar pandangan atau fikiran bagaimana dapat menyelesaikan isu-isu politik semasa.
Majlis taklimat Presiden akan diadakan secara tertutup pada 27 Nov, pukul 3 petang. Kita arahkan semua yang hadir memakai baju ulang tahun UMNO ke-66. Walaupun perhimpunan kali ini tidak mempunyai tema, kita akan terapkan mood pilihan raya seperti mana yang dilakukan pada perhimpunan tahunan parti Gerakan dan MCA baru-baru ini.
Pada sebelah malam akan diadakan perasmian serentak mesyuarat tiga sayap UMNO iaitu Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO oleh Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Merdeka.
Kita akan hantar tiga orang anggota Majlis Tertinggi di dalam setiap mesyuarat sayap dan mereka akan membuat laporan kepada pucuk pimpinan pada mesyuarat Majlis Tertinggi Khas pada pukul 8 malam, 28 Nov.
Perhimpunan sebenar akan bermula pada 29 Nov hingga 1 Dis.
BERNAMA: Apakah agenda utama perhimpunan agung kali ini?
TENGKU ADNAN: Kita akan tekankan supaya perhimpunan agung ini tertumpu kepada kesiapsiagaan parti untuk menghadapi pilihan raya.
Kita percaya ucapan dasar Presiden juga akan berkisar kepada itu. Saya yakin beliau juga akan menyentuh mengenai kepentingan untuk mendahulukan parti daripada kepentingan individu.
Selain itu kita mesti bersatu untuk mencapai kejayaan. Kita percaya kalau tidak ada masalah dalaman, sudah pasti pihak lawan tidak akan dapat menembusi batas atau kawasan-kawasan kita sebab kita mempunyai organisasi dengan struktur kuat.
BERNAMA: Mengambil contoh Perhimpunan Agung MCA baru-baru ini yang tertumpu kepada isu Hudud ala PAS, adakah perwakilan UMNO diberi kebebasan untuk menyentuh sebarang isu ketika berbahas?
TENGKU ADNAN: Pembahas boleh sentuh apa saja isu di bawah topik ucapan dasar presiden, ekonomi, politik, agama dan pendidikan. Kita ingatkan mereka berbahas dengan fakta dan tidak menyentuh perkara yang boleh menyinggung perasaan mana-mana pihak. Kalau hendak buat sebarang teguran, biarlah secara berhemah.
Kita mempunyai Jawatankuasa Usul yang dipengerusikan Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang akan memberi panduan mengenai apa yang boleh dibahaskan kerana kita sedar ada orang yang akan jadi ghairah bila dapat mikrofon.
Kita juga minta perwakilan jangan terlalu hendak menonjolkan diri memandangkan pilihan raya yang semakin hampir. Ini mungkin akan jadi masalah tapi kita akan cuba bendung.
BERNAMA: Tahun lepas, anggota UMNO diminta berbai’ah supaya tidak mengkhianati parti dan menerima calon pilihan pucuk pimpinan untuk pilihan raya. Memandangkan ini perhimpunan terakhir sebelum PRU-13, adakah anggota akan diminta untuk berbai’ah sekali lagi?
TENGKU ADNAN: Bai’ah atau tidak yang penting rambut sama hitam, hati lain-lain…kalau niat kita untuk kebaikan, kalau kita tahu perjuangan parti dan BN parti berbilang kaum, bangsa dan agama, kita tidak akan mengkhianati parti.
Pokoknya kita sendiri sebagai ahli mesti tahu perjuangan parti.
Kejayaan yang kita capai hari ini adalah kerana kita bersatu dalam kepelbagaian. Kalau tak bersatu kita akan hadapi masalah. Kerana kesatuan itulah Malaysia telah mencapai kejayaan seperti yang ada hari ini.
BERNAMA: Datuk Seri ada menyentuh tentang kekukuhan struktur parti. Adakah Datuk Seri yakin struktur UMNO yang ada hari ini cukup solid untuk mendepani cabaran politik yang semakin kritikal?
TENGKU ADNAN: Kita sedang buat pelbagai perubahan yang dicernakan presiden parti. Dari segi pemilihan, kita ubah, transformasi politik pun kita dah buat. Masalah yang sedang dihadapi adalah masalah persepsi. Lepas kita menang pilihan raya 2004, barangkali kita alpa sehingga pembangkang Berjaya melabelkan parti UMNO sebagai parti kronisme, elitis, korup dan bermacam lagi.
Ini perkara yang saya selaku Setiausaha Agung dan Presiden UMNO sedang cuba untuk perbaiki dan perbetulkan persepsi-persepsi yang disebut oleh pihak lawan.
Masalahnya, lawan kita adalah orang kita dahulu. Jadi mereka adalah orang yang kecewa, angkuh hati. PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah serpihan UMNO. Susah kita nak perbaiki kalau dia masih sakit hati, dengki. Ini yang paling susah. Kita masih lagi dalam tahap pemulihan untuk betulkan keadaan.
Kita jangan lupa UMNO ini payung bukan saja kepada orang Melayu tapi untuk seluruh masyarakat Malaysia. UMNO ini parti siasah, we never promise richness. Ini kita kena tekankan.
Kita bukan menjanjikan untuk individu tapi untuk kepentingan rakyat. Barangkali pembawakan orang UMNO itu sendiri salah. Sebab itu kita minta buat beberapa perubahan…ini masalah dan kekangan yang kita ada. Bukan mudah, sebab kita berdepan dengan manusia yang mempunyai nafsu, yang ada ego.
BERNAMA: Sejauh mana peranan ‘cybertroopers’ memberi kesan kepada parti-parti politik?
TENGKU ADNAN: Kita boleh nampak orang dah mula bosan dengan Internet, dah balik kepada media cetak, tv, radio. Orang dah mula nilai. Ada banyak benda tak betul dan direka-reka. Ini telah menghakis kepercayaan masyarakat kepada media eletronik terutama Internet dan media sosial.
UMNO memang ada team cybertroopers sendiri tapi kita minta mereka cerita yang sebenar, jangan sesekali bawa fitnah.
BERNAMA: Kebelakangan ini banyak perdebatan pro dan kontra berhubung cadangan mengumumkan calon pilihan raya lebih awal berbanding sebelum ini. Bagaimana UMNO melihat rasional perkara ini?
TENGKU ADNAN: Kita dah minta umum awal supaya tak ada masalah nanti. Dengan itu, calon boleh lebih bersedia. Kalau dah dekat hendak bertanding baru umum, nanti kelam-kabut. Kita tak mahu ia berlaku. Kita tahu ada baik dan buruknya tapi bagi saya lebih baik kita dapat beri nama calon lebih awal. Tapi terpulanglah kepada presiden parti.