Semarakkan Kembali Tradisi Melayu Dalam Majlis Khatan Beramai-ramai
PUTRAJAYA – Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru masyarakat khususnya yang tinggal di kawasan bandar agar menghidupkan tradisi lama dalam kehidupan termasuklah menyemarakkan Program Khatan Beramai-ramai yang berlangsung di Dewan Kejiranan Presint 11, hari ini.
Dalam program tersebut, seramai 220 orang anak-anak penduduk tempatan telah terlibat dalam program yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Putrajaya.
“Saya amat terharu dengan sambutan yang diberikan oleh masyarakat di sini dan amat berbesar hati dengan pelaksanaan yang dijalankan lancar dengan mengembalikan semula suasana orang Melayu dalam melakukan majlis khatan ini,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya.
Dalam program ini, majlis telah dimulakan dengan doa selamat, bacaan surah yassin dan tahlil yang kemudiannya diikuti dengan perarakan kanak-kanak terlibat dengan diiringi bunga manggar menuju ke kolam renang.
Peserta khatan juga telah disuap dengan pulut kuning dan diberi minum air zam-zam oleh isteri Datuk Seri Utama Tengku Adnan iaitu Datin Seri Utama Anggeriani Sentiyaki selain sumbangan wang dari Ahli Parlimen dan ‘goody beg’ yang dibekalkan oleh Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Wilayah Persekutuan.
Majlis khatan beramai-ramai ini adalah antara acara tahunan yang dilaksanakan oleh Parlimen Putrajaya apabila tibanya musim cuti persekolahan hujung tahun.