Berita

Sembang Orang Muda Jalin Hubungan Dengan Pemimpin

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor menggesa masyarakat khususnya golongan muda agar menghayati erti perjuangan dengan menyelami nilai kemerdekaan dalam negara yang dicapai sejak 55 tahun yang lalu.

Katanya, generasi yang lahir pada hari ini perlu tahu bahawa kesejahteraan, keamanan dan kelestarian yang dikecapi dalam negara hari ini bukan datang begolek atau dinikmati secara automatik sebaliknya ia adalah hasil daripada kebersamaan dalam perjuangan antara UMNO, MCA dan MIC membentuk parti Perikatan.

“Kerajaan hari ini mempunyai hala tuju yang jelas iaitu untuk membawa rakyatnya kepada sebuah negara membangun pada tahun 2020 nanti dan sekarang ini kita berada dilandasan yang betul dengan tentunya impian tersebut akan dicapai melalui sokongan semua lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena program ‘Sembang Orang Muda’ yang diadakan di Presint 11, Fasa 4A pada 10 Nov (Sabtu) lalu.

Tegasnya, setiap anggota masyarakat khususnya orang muda mesti mempunyai prinsip dan berpendirian tegas dalam kehidupan khususnya dalam menguruskan kehidupan sendiri.

“Golongan belia hari ini jangan sampai jadi seperti ‘the youth of Amerika’ yang akan berhutang seumur hidup lantaran inginkan kehidupan mewah sebaliknya ukurlah baju dibadan sendiri apabila ingin berbelanja dengan membeli mengikut kemampuan tanpa amalan berhutang.

“Pada mana-mana golongan muda yang berjawatan rendah pula, janganlah mudah berpuas hati dengan kedudukan yang ada sebaliknya tingkatkanlah kemahiran dan pendidikan melalui pelbagai kemudahan dan pusat pengajian yang disediakan oleh kerajaan,” tambahnya.

Dalam hal kehidupan sehari-hari beliau turut membidas golongan muda yang mudah terikut-ikut dengan kelompok tidak sihat sehinggakan sanggup terlibat dalam perhimpunan jalanan yang tidak mempunyai arah tujuan jelas.

“Kita mesti tahu had dan sempadan dalam setiap apa yang dilaksanakan kerana tidak semua yang ada didepan mata itu baik apatah lagi perbuatan berdemonstrasi di jalanan sebagaimana yang dipelopori oleh pembangkang sehingga menggangu kesejahteraan awam.”

Beliau turut menyorot dengan pembangunan di Putrajaya yang menjadi antara bandar termoden tetapi ketika perancangan untuk pembinaannya suatu ketika lalu ia turut dimanipulasi dan dijadikan isu politik oleh pihak pembangkang.

“Lihatlah apa yang ada di sekeliling kita hari ini, siapa yang menduduki kawasan ini jika bukan rakyat negara ini dan siapa pula yang begitu beria-ia mahu menawan Putrajaya jika bukan pembangkang.

“Sebagai generasi pelapis kepimpinan akan datang, janganlah terikut-ikut apa yang dilakukan oleh golongan yang kecewa dan tidak berpuas hati ini.”

Dalam sesi dialog sejurus selepas itu, para penduduk turut membangkitkan berkaitan tempat letak kereta dan peluang pekerjaan yang terhad.

“Kita tidak pernah puas dengan apa yang kita ada sedangkan kerajaan telah menyediakan prasarana lengkap termasuklah pengangkutan awam yang selesa bagi pergerakan di sekitar kawasan Putrajaya, jadi gunakanlah ia sepenuhnya.”

Berkaitan dengan peluang pekerjaan, beliau menyeru rakyat untuk tidak memilih sebaliknya merebut peluang yang ada kerana jika negara ini kekurangan pekerjaan bagaimana pula pendatang asing bertumpu di sini untuk mencari rezeki.