Utamakan Kepentingan Rakyat Tanpa Politikkan Islam
PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor membidas golongan pembangkang yang lebih bertumpu kepada soal politik termasuklah menjadikan agama sebagai isu sehingga boleh mengelirukan masyarakat keseluruhannya.
Katanya, sewajarnya bangsa Melayu menyekat mana-mana pihak yang menjadikan agama sebagai bahan politik termasuklah menggunakan nama Islam dalam parti bagi menarik golongan terbabit menyertai mereka.
“UMNO sebagai parti yang menyokong perjuangan kebangsaan Melayu tidak pernah menggunakan walau sepotong ayat Quran pun dalam urusan politik kerana apa yang penting adalah asas dan tujuan parti tersebut ditubuhkan selain usaha-usaha untuk terus memelihara akidah umat Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Program Gagasan 1Malaysia yang diadakan di di gelanggang bola keranjang, Fasa 5 & 6, Presint 9, Putrajaya pada 11 Nov. (Ahad).
Dalam hal ini beliau merujuk kepada Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO iaitu menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebebasan beragama.
“Pas yang bertopengkan agama adalah parti serpihan dari UMNO iaitu di dalamnya terdiri dari kalangan orang-orang kecewa, menggunakan agama Islam demi untuk kepentingan peribadi, kedudukan dan pangkat sedangkan dalam masa yang sama mereka gagal mempertahankan akidah umat Islam yang ada di sekeliling mereka,” katanya.
Dalam hal tersebut beliau turut merujuk kepada pelbagai insiden yang berlaku dalam pakatan pembangkang sendiri sehinggakan dikalangan mereka ada yang mempertikaikan berkaitan Islam sebagai agama rasmi, menyokong kebebasan beragama meliputi semua kaum termasuk Melayu, tiada tindakan dalam kenyataan menyokong keselamatan negara Israel dan pelbagai isu lain.
“Ada dikalangan mereka sanggup mengadakan perhimpunan jalanan dan mengadakan demonstrasi apabila ada negara asing membuat lakaran berkaitan Nabi Muhammad SAW tetapi malangnya apabila pemimpin mereka yang bergelar Mursyidul Am menyamakan Nabi Muhammad SAW dengan Mamat budak kampung tak ada pula yang bangkit untuk membantah atau cuba membetulkan kenyataan terbabit.”
Tegasnya yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), pakatan pembangkang yang terbentuk daripada golongan kecewa lantaran diketepikan dari UMNO dan BN ekoran kepentingan peribadi tidak akan dapat mencapai apa yang diimpikan sekiranya terus berlaku songsang dan tidak jujur dalam perjuangan.