Ucapan

Persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2012 Bermula

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHIWABARAKATUH
SALAM SEJAHTERA DAN SALAM 1MALAYSIA

1. Alhamdulillah, setinggi kesyukuran dipanjatkan kerana atas limpah dan kurnia Allah SWT kita dapat bersama-sama berkumpul dan menunaikan tanggungjawab sebagai ahli parti sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO serta memenuhi perundangan dari Akta Pertubuhan.

2. Bersyukurlah juga kerana parti kita terus dirahmati-Nya dan dikekalkan bersama-sama Barisan Nasional untuk menjadi tunjang menerajui bumi bertuah ini. Semoga tanah air tercinta ini akan terus sejahtera tanpa sebarang malapetaka dengan kita terus dikurniakan kebijaksanaan dan kewarasan akal fikiran dalam melestariakan keamanan bukan saja di tanah air sendiri tetapi dalam membantu saudara seagama dengan kita dan juga negara-negara yang sedang membangun.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Presiden

3. Saya mohon keizinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri untuk melaporkan bahawa segala persiapan Perhimpunan Agung UMNO 2012 berlangsung dengan lancar. Gerakan untuk menjayakan persidangan terbesar bangsa Melayu ini telah bermula dari akar umbi iaitu di peringkat cawangan dan bahagian termasuklah Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri. Ini adalah selaras dengan apa yang digariskan dalam Perlembagaan UMNO dan Peraturan Persidangan.

4. Untuk makluman Yang Amat Berhormat Datuk Seri dan para perwakilan sekalian, keseluruhan cawangan yang layak mengadakan persidangan tahunannya telah pun menyempurnakan amanah parti ini dengan jayanya, begitu juga mesyuarat bahagian yang berakhir pada 16 September lalu.

5. Kesungguhan bagi menjayakan persidangan ini seiring dengan asas dan tujuan UMNO ditubuhkan iaitu sebagai sebuah parti yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara. Inilah ikrar janji ahli-ahli parti dalam memastikan Perhimpunan Agung UMNO 2012 berlangsung dengan jayanya.

6. Dilaporkan bahawa jumlah perwakilan UMNO yang hadir dalam persidangan ini ialah seramai 2,718 orang.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri,

7. Transformasi dilakukan bagi melaksanakan penambahbaikan dan pemantapan parti. Lantas, kepimpinan tertinggi UMNO telah bersetuju dengan cadangan Jawatankuasa Pengurusan berkaitan soal pendaftaran ahli baru iaitu mana-mana permohonan yang diterima oleh ibu pejabat tanpa tanda tangan Jawatankuasa Cawangan akan dikembalikan kepada Bahagian yang kemudian akan diserahkan semula kepada cawangan terbabit. Namun demikian, sekiranya dalam tempoh dua bulan tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak cawangan maka keahlian baru itu akan diterima secara automatik.

8. Bukan itu saja, kesungguhan kepimpinan tertinggi parti memastikan setiap gerak kerja membawa hasil positif maka Jawatankuasa Khas dibuat bagi memantau dan mengambil tindakan segera terhadap mana-mana ahli yang melakukan sabotaj ke atas parti serta calon Barisan Nasional pada pilihan raya akan datang. Ini adalah selaras dengan peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan UMNO. Untuk tujuan tersebut, setiap bahagian juga boleh memberi laporan terus kepada Jawatankuasa Khas di Ibu Pejabat atau secara dalam talian bagi memastikan pelaksanaan dapat dilakukan dengan lancar.

9. Dalam masa yang sama, Jawatankuasa Disiplin turut digerakkan lebih awal sebelum Pilihan Raya Umum iaitu untuk menangani salah laku dan displin ahli sekaligus bersikap lebih proaktif. Ini adalah bagi memastikan UMNO tidak menerima kesan buruk lantaran daripada kepincangan segelintir anggota yang melakukan tingkah bertentangan dengan peraturan parti.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri dan hadirin perwakilan,

10. Sebagaimana cogan kata parti, Bersatu, Bersetia, Berkhidmat, ibu pejabat UMNO telah melaksanakan gerak kerja berterusan dengan usaha untuk memastikan semua yang berlangsung dari peringkat kepimpinan tertinggi dapat diserap oleh ahli-ahli parti di akar umbi dan masyarakat seluruhnya. Dalam usaha memanifestasikan keseluruhan jentera parti, pelbagai program, kursus, penerangan dan latihan dilaksana termasuklah bekerjasama dengan Badan Perhubungan UMNO Negeri-negeri khususnya membabitkan simulasi pilihan raya selain Pusat Daerah Mengundi diativasikan.

11. Sememangnya Pilihan Raya Umum 2008 menjadi satu pengajaran, amat pahit untuk dikenang tetapi itulah pelajaran paling berharga untuk setiap ahli parti agar terus bekerja tanpa lalai kerana natijahnya agama, bangsa dan negara menjadi bahana.

12. Dalam menyorot kembali apa yang telah berlaku sepanjang penggal ini, kepimpinan tertinggi parti melaksanakan transformasi. Kematangan perlu diaplikasi dengan memperbaiki kesilapan, mengurai kekusutan, belajar dari kesilapan dengan berani mengakuinya biarpun ternyata pahit tetapi atas nama kebenaran maka kealpaan lalu menjadi tauladan. Kepimpinan tertinggi parti enggan bersikap angkuh, tidak segan bertanya, tidak malu belajar, mohon dilontar idea lantas suara hati rakyat diselami.

13. Gerakan turun padang direalitikan dengan jalinan bersama masyarakat tanpa mengira peringkat usia dan latar kedudukan dibuat. Ahli UMNO bergerak aktif dengan semangat ‘bersatu kita bersatu’ lantas ulang tahun UMNO ke-66 Mei lalu menjadi bukti perjuangan tidak pernah padam. Ia telah mencetus satu sejarah apabila Sang Saka Bangsa diarak dari Utara, Selatan, Pantai Timur dan melintasi laut China Selatan menuju ke Stadium Nasional Bukit Jalil setelah melalui larian selama 11 hari. Kemuncaknya, acara sambutan gilang gemilang berlangsung dengan lebih 100,000 ahli UMNO menyatakan ikrar setia untuk memperteguh parti agar ia terus diwarisi oleh generasi akan datang. Janganlah kita hanya menang sorak tapi bangsa tergadai kerana semangat ini perlu terus diaplikasikan untuk Pilihan Raya akan datang.

14. Berlandaskan asas perjuangan yang teguh dengan semangat anggotanya yang terus berkobar, gerakan serampang dua mata dibuat dengan proses untuk menambahkan keahlian parti sealiran dengan pendaftaran pengundi di semua peringkat cawangan, bahagian dan negeri.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri dan Sidang Hadirin Sekalian

15. Dilaporkan kedudukan keahlian UMNO sehingga 28 November 2012, jumlah ahli yang dicatat ialah 3,386,274 orang dengan bilangan cawangan sebanyak 21,056. Negeri Sabah mencatatkan bilangan ahli teramai iaitu 505,852 orang manakala Bahagian yang mencatat bilangan ahli tertinggi ialah Silam, Sabah sementara keahlian cawangan teramai ialah Kampung Tinosa Jaya/Libaran dengan jumalh ahlinya 1,783 orang.

16. Tirai persidangan UMNO 2012 kali ini dihiasi dengan pelbagai program sebagaimana Wacana, Himpunan dan Konvensyen Kepimpinan. Bersemarak UMNO mekar melakar indah dengan ahli-ahlinya bergerak sealiran memenuhi Pusat Dagangan Dunia Putra menjayakan agenda dalam pelbagai cara. Menyusul kemudiannya, pada 26 dan 27 November, Forum Antarabangsa memenuhi acara dengan tema ‘Conflict And Conciliation In The People’s Politics – Looking Back or Looking Forward’. Hasilnya pelbagai idea dapat dikongsi dengan kupasan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara serta bertukar-tukar pendapat dalam suasana yang lebih selesa.

17. Keteguhan UMNO sebagai sebuah parti politik yang mempunyai struktur kukuh disempurnakan dengan jalinan parti-parti politik asing yang secara tidak langsung dapat mempertingkatkan keupayaan dan pencapaian sama ada di dalam atau di luar negara.

18. Dilaporkan dalam perhimpunan kali ini, kita menerima delegasi luar negara seramai 57 orang mewakili 24 parti melibatkan 21 buah negara. Dengan ini, kita mengalu-alukan kehadiran rakan-rakan parti dari peringkat antarabangsa:

i. H.E STEPHEN KALONZO MUSYOKA, THE VICE PRESIDENT OF THE WIPER DEMOCRATIC MOVEMENT- KENYA BERSAMA ANGGOTA DELEGASINYA.

ii. AZERBAIJAN – NEW AZERBAIJAN PARTY

iii. CAMBODIA – CAMBODIAN PEOPLE’S PARTY

iv. CAMBODIA – FUNCINPEC PARTY

v. PEOPLE’S REPUBLIC OF CHINA – COMMUNIST PARTY OF CHINA

vi. REPUBLIC OF CUBA – CUBAN COMMUNIST PARTY

vii. INDONESIA – PARTAI DEMOKRAT

viii. INDONESIA – PDI PERJUANGAN

ix. ISLAMIC REPUBLIC OF IRAN – ISLAMIC LABOUR PARTY

x. IRAQ – AL-DAWA PARTY

xi. KURDISTAN – KURDISTAN DEMOCRATIC PARTY

xii. DEMOCRATIC PEOPLE’S REPUBLIC OF KOREA – WORKERS’ PARTY OF KOREA

xiii. LAOS – LAO PEOPLE’S REVOLUTIONARY PARTY

xiv. MADAGASCAR – MAMAFISOA PARTY

xv. NIGER – NIGERIEN PARTY FOR DEMOCRACY AND SOCIALISM

xvi. PHILIPPINES – MORO ISLAMIC LIBERATION FRONT- MILF

xvii. SINGAPORE – PERTUBUHAN KEBANGSAAN MELAYU SINGAPURA (PKMS)

xviii. SINGAPORE – PEOPLE’S ACTION PARTY

xix. SRI LANKA – SRI LANKA MUSLIM CONGRESS PARTY – SLMC

xx. SUDAN – NATIONAL CONGRESS PARTY

xxi. VIETNAM – COMMUNIST PARTY OF VIETNAM

xxii. UKRAINE – PARTY OF REGIONS OF UKRAINE

xxiii. STATE OF QATAR

xxiv. PALESTINE – HAMAS

xxv. PALESTINE – AL-FATAH

Yang Amat Berhormat Datuk Seri dan hadirin perwakilan,

19. Penglibatan golongan muda tidak pernah dinafikan apatah lagi mereka yang berada di seberang laut kerana tentunya sokongan terhadap UMNO akan terus subur. Sebanyak 67 perwakilan daripada 72 Kelab UMNO Luar Negara dan Badan Perhubungan UMNO Luar Negara turut hadir dalam perhimpunan Agung ini. Perwakilan ini telah pun selesai berkursus yang membabitkan semua wakil-wakil pelajar dalam dan luar negara selain turut serta dalam Forum Antarabangsa.

20. Perhimpunan kita ini bukan hanya mendapat perhatian dari ahli-ahli UMNO tetapi ia juga diikuti oleh semua pihak dengan liputan luas membabitkan media massa dalam dan luar negara. Sukacita saya maklumkan bahawa sebanyak 102 agensi media cetak dan elektronik, terdiri daripada 96 media tempatan dan 16 buah media antarabangsa, yang melibatkan sejumlah 1,782 orang kru membuat liputan dalam Perhimpunan Agung ini. Inilah bukti bahawa UMNO menjadi tumpuan bukan saja di tanah air sendiri tetapi juga dipersada antarabangsa.

21. Sehubungan itu, saya ingin menyeru para perwakilan sekalian termasuklah diri saya sendiri, dari peringkat kepimpinan tertinggi hinggalah ke akar umbi untuk eratkan genggaman tangan bagi bergerak sederap untuk mengharungi perang besar dalam pilihan raya nanti. Padukan setia janji, sematkan cinta di hati dan mohon ikhlaskan diri dengan ikrar berpadu, bersatu melawan seteru dengan mengutamakan kepentingan parti berbanding agenda peribadi. Janganlah hendaknya parti ini hanya bersemarak gemilang dalam lipatan sejarah yang kemudiannya akan hilang bersama lenyapnya bangsa Melayu. Hanya UMNO teras bangsa Melayu untuk agama dan negara.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Presiden

22. Demikianlah laporan saya kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri dan para perwakilan sekalian berkaitan dengan persiapan Perhimpunan Agung UMNO 2012.

23. Maka dengan ini, dengan hormatnya saya persilakan Yang Berbahagia Tan Sri Badruddin Amiruldin, Pengerusi Tetap UMNO Malaysia untuk mengambil tempat dan memulakan persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2012.

Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh