Berita

Perkukuh Perjuangan UMNO Menjelang Cabaran 2013

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru masyarakat tempatan untuk terus memberikan sokongan kepada kerajaan dalam usaha untuk mengekalkan kesejahteraan dan memacu negara sebagai sebuah negara membangun pada masa hadapan.

Katanya, sebagai sebuah pusat pentadbiran negara yang terancang dan termoden, Putrajaya perlu menjadi contoh kepada semua pihak khususnya dalam memastikan kesinambungan pembangunan dan kemajuan negara menjadi realiti dengan dipelopori oleh masyarakat di dalamnya.

“Kita berada di penghujung tahun 2012 yang mana sepanjang tahun ini pelbagai perkara telah berlangsung dan saya sebagai wakil rakyat di sini sedaya upaya memenuhi hasrat semua pihak khususnya dalam soal kebajikan dan keperluan masyarakat tetapi sebagai manusia maka tentunya saya tidak lepas dari kekurangan, justeru saya memohon maaf sekiranya ada yang terlepas pandang.

“Tahun 2013 adalah tahun penting yang bakal kita hadapi dan saya amat yakin sekiranya kesatuan dan kesepaduan yang terus kita perkukuhkan maka tentunya segala rintangan termasuklah cabaran pilihan raya nanti akan dapat kita lalui,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Bersama Rakyat yang berlangsung pagi ini (29 Dis) di Padang Dewan Presint 9, hari ini.

Tegasnya lagi, pelbagai bukti telah terlakar apabila Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan sejak lebih 55 tahun yang lalu dan Putrajaya adalah antara kemajuan dan pencapaian terbaik untuk dilihat dan dinilai oleh rakyat.

“Kita perlu mengekalkan kerajaan yang ada bagi memastikan segala perancangan yang digariskan sejak kepimpinan terdahulu dapat direalitikan termasuklah impian Wawasan 2020 dan janganlah sesekali kita sengaja meletakkan masa hadapan sebagai percaturan kerana mengundi pembangkang akan membawa kemusnahan sebagaimana yang telah mereka lakukan dibeberapa negeri.

“Sekiranya ada rasa tidak puas hati maka berbaliklah pada nilai sejarah, sekiranya ada yang masih sangsi maka nilailah kembali matlamat perjuangan kerana kerajaan tidak pernah berpura-pura dalam mengutamakan kebajikan rakyat keseluruhannya,” katanya lagi.

Dalam program tersebut beliau turut memberikan penghargaan kepada anggota keselamatan iaitu pasukan polis, bomba, badan penguatkuasa, para anggota Rela, Jasa, Kemas dan lain-lain lagi yang telah menyumbangkan tenaga dalam memastikan kelestarian Putrajaya.

Program bersama rakyat ini juga turut dimeriahkan dengan acara makan durian, selain menyediakan khidmat gunting rambut secara percuma kepada kanak-kanak yang bakal bersekolah.

Selepas program tersebut, Tengku Adnan yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya turut merasmikan Pusat Rawatan Kucing di depoh Presint 9, di sini.