Berita

Kerumitan Masyarakat Dirungkai, Keselesaan Rakyat Jadi Keutamaan

PUTRAJAYA – Kegelisahan masyarakat sentiasa mendapat perhatian dari pemimpin tempatan sebagaimana para penduduk di sekitar Presint 18 yang berdepan dengan kehadiran anjin-anjing liar di kawasan terbabit.

Ahli Parlimen merangkap Ketua UMNO Bahagian tempatan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor telah melakukan tinjauan di kawasan terbabit pada Ahad, 13 Jan 2012 ekoran rungutan dan aduan daripada para penduduk berkenaan gangguan dan tahap keselamatan yang tidak terjamin dengan kehadiran anjing-anjing liar terbabit.

“Saya mendapat aduan bahawa anjing-anjing berkenaan bertindak mengejar orang awam yang ada di sekitar kawasan ini dan ini amat berbahaya kepada mereka yang gemar berjoging di awal pagi atau waktu malam,” katanya.

Sebelum ini, Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Putrajaya pernah mendapat aduan berkaitan kucing-kucing liar dan ia dapat diselesaikan dengan mewujudkan pusat rawatan kucing di Depoh Presint 9.

“Tindakan segera akan diambil dengan kerjasama langsung oleh Perbadanan Putrajaya dan kami akan memikirkan jalan terbaik untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan masyarakat,” katanya lagi.