Berita

Jelajah Anak Malaysia Jadi Penghubung Kerajaan dan Rakyat

PUTRAJAYA – Anak muda Malaysia adalah duta kecil yang akan menentukan masa depan negara dalam usaha memastikan kelangsungan kesejahteraan akan datang, kata Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor.

Katanya, golongan belia sewajarnya memahami aspirasi kerajaan yang sentiasa berusaha membawa kemajuan dalam pembangunan insan dan pembangunan sosial khususnya dikalangan generasi muda yang akan menjadi pemangkin kepada kelestarian negara.

“Saya harap mereka akan terus terapkan kaedah kerjasama dan muafakat dengan membuat penilaian terhadap apa yang dinikmati mereka hari ini. Usaha kerajaan tidak pernah terbatas atau mempunyai maksud tersirat sebaliknya pelbagai manipulasi dan persepsi telah ditaburkan pembangkang untuk meruntuhkan kerajaan yang ada.

“Golongan muda inilah yang sewajarnya menangkis dakyah pembangkang yang hanya tahu mainkan sentimen dan persepsi negatif terhadap kerajaan dan pemimpin negara sedangkan mereka gagal laksanakan janji-janji kepada rakyat selama ini,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena perasmian ‘Jelajah Anak Malaysia’ di Dewan Perdana Putra di SK Presint 8(1), hari ini (30 Januari 2012).

Program ‘Jelajah Anak Malaysia’ yang disertai gabungan 46 badan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa dan belia akan bertindak sebagai agen penghubung antara kerajaan dan rakyat dengan penganjuran program ini lebih bersifat mendekati dan mendampingi rakyat di peringkat akar umbi.