Perdana Menteri Bersama Raikan Hari Wilayah
KUALA LUMPUR – Lebih 20,000 orang membanjiri Stadium Bola Sepak di Bandar Tun Razak di sini untuk bersama-sama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2013.
Ketibaan Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor di stadium itu disambut laungan 1Malaysia oleh orang ramai yang membanjiri stadium sejak awal pagi, serta diiringi dengan dendangan lagu 1M4U.
Najib kemudiannya membuat pemeriksaan kawalan kehormat oleh 60 anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Sambutan yang bertemakan Perpaduan Teras Kesejahteraan Wilayah Persekutuan dimulakan dengan persembahan padang dan udara penuh berwarna-warni oleh 1,200 remaja bertemakan ”Gegaran Wilayah” yang menampilkan aspirasi generasi baru Wilayah Persekutuan.
Sambutan turut dimeriahkan lagi dengan acara perbarisan yang disertai 8,900 peserta daripada 144 kontinjen terdiri daripada pelajar, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, persatuan penduduk, GLC, badan korporat, agensi pelancongan, ahli sukan dan unit beruniform.