Peruntukan RM1 Juta Untuk Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya
PUTRAJAYA – Peruntukan sebanyak RM1 Juta menjadi hadiah istimewa sempena perayaan jubli emas Sekolah Sultan Alam Shah, di sini yang diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Katanya, kaedah untuk mengurangkan beban tugas pentadbiran guru akan diberi perhatian segera dalam pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) dengan dibuat supaya guru boleh menumpukan sebahagian besar masa mereka pada fungsi pengajaran teras.
Beliau berkata aspek bebanan tugas guru merupakan antara perkara yang telah dibincangkan dengan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran.
“Itulah pembaharuan yang kita akan laksanakan bagi mengurangkan beban guru dalam tugas yang tiada kaitan dengan tugas utama sebagai pendidik,” katanya pada majils, di sini, malam ini.
Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi dan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor.
Najib berkata keperluan guru harus diberi keutamaan sebagai motivasi untuk mereka menyampaikan pengajaran secara berkesan di dalam dan luar bilik serta pencapaian dan kejayaan sesebuah sekolah itu bergantung kepada warga pendidik.
Perdana Menteri berkata usaha itu juga selaras dengan hasrat untuk melahirkan modal insan yang berkualiti serta mampu berfikir secara kreatif dan kritis.
“Kita perlu memahami bahawa persaingan dalam abad ke-21 menuntut kepada kita untuk berjaya ketengahkan idea-idea lebih unggul, kerana sesiapa yang mempunyai idea lebih unggul maka mampu mengatasi negara lain,” katanya.