Berita

Penghinaan Samakan BR1M Dengan Beri Makan Ayam

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor membidas kepimpinan Pas yang menyamakan penerima Banruan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai haiwan adalah satu penghinaan yang tidak selayaknya dikeluarkan hanya kerana terdesak dengan populariti dan untuk mendapatkan undi menjelang Pilihan Raya Umum ke -13 akan datang.

“Katanya, pada ketika rakyat diberikan bantuan dalam pelbagai bentuk oleh kerajaan termasuklah BR1M, baucer untuk pelajar, bantuan kepada golongan belia dan macam-macam lagi tetapi pemimpin pembangkang tergamak melabelkan sedemikian walhal ada diantara anggotanya juga yang menerima bantuan terbabit,” katanya.

Jelasnya, inilah sikap puak-puak pembangkang yang akan memandang negative semua yang dilaksanakan oleh kerajaan sedangkan kepimpinan dalam pembangkang termasuklah Mursyidul Amnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat juga pernah memberikan wang kepada rakyat tetapi ia dianggap halal pula.

Baru-baru ini, Nik Aziz berkata pemberian BR1M tersebut mendapat sambutan rakyat dan mengibaratkan penerima “sama dengan ayam dan lembu yang akan datang sekiranya manusia memberikan haiwan tersebut makanan yang digemari.”

“Mereka telah menghina rakyat yang kurang berkemampuan ini adalah sesuatu yang amat keji bagi seorang pemimpin yang bertopengkan agama,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Penyampaian BR1M 2.0 yang berlangsung hari ini, Sabtu (23 Feb 2013) di Pusat Kejiranan Presint 11.