Berita

Seramai 6,400 warga Putrajaya Terima BR1M 2.0

PUTRAJAYA – Rata-rata penduduk tempatan melahirkan kesyukuran dan berterima kasih dengan kerajaan yang ditunjangi oleh Barisan Nasional (BN) atas pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 yang bernilai RM500 kepada seramai 6,400 orang penduduk.

Majlis yang berlangsung di Pusat Kejiranan Presint 11 ini telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan dalam pembentangan Belanjawan 2013 pada 28 Sept memaklumkan bahawa di bawah BR1M 2.0, isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah layak menerima bantuan sebanyak RM500.

Bantuan itu kali ini turut dipanjangkan kepada individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, dan mereka layak menerima bantuan sebanyak RM250.

Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2013 dilapor berkata bantuan kepada isi rumah dan individu bujang bukanlah satu langkah populis malah manifestasi sebuah kerajaan bertanggungjawab dan mampu menguruskan kewangan negara dengan berhemah.

Pemberian BR1M yang pertama telah dimanfaatkan oleh 4.3 juta isi rumah dengan peruntukan kerajaan berjumlah hampir RM2.16 bilion manakala BR1M 2.0 memanfaatkan 4.3 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang yang melibatkan peruntukan RM3 bilion.