Berita

Tindakan Pemimpin Pembangkang Hina Rasulullah Dikecam

khairul-fahmi-mat-som-fahmipkg-pas-pr-hina-nabi

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melahirkan rasa kesal dengan tindakan segelintir pihak yang sanggup berpolitik hingga melibatkan nama Rasulullah SAW sebagai bahan untuk dijadikan populariti.

Katanya, perkara berkaitan agama dan baginda Rasulullah Nabi Muhammad SAW tidak sewajarnya dijadikan alat dalam hasrat untuk mengelirukan masyarakat.

“Tidak kiralah dalam apa jua keadaan perkara berkaitan kesucian agama Islam, hal-hal berkaitan akidah dan junjungan besar Nabi Muhammad SAW adalah sesuatu yang tidak perlu dijadikan bahan politik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam mengulas berkaitan kenyataan dalam laman sembang sosial twitter yang dikeluarkan oleh Khairul Fahmi Mat Som yang berjawatan Penolong Setiausaha 1 Dewan Pemuda PAS Pusat.

Dalam twitter terbabit, pemimpin Pas tersebut telah mengaitkan Nabi Muhammad SAW dengan kononnya akan turut dilibatkan dalam video seks yang didakwanya adalah perbuatan UMNO.

“Barisan Nasional (BN) dan UMNO tidak pernah terlibat dengan mana-mana agenda sedemikian apatah lagi hal-hal yang melibatkan perlakuan moral dan keruntuhan akhlak.

“Semua dakwaan yang dibuat kepada pemimpin pakatan pembangkang berkaitan salah laku moral dan penyebaran video adalah melibatkan individu tertentu dan bukannya urusan parti, apatah lagi untuk mengaitkannya dengan Rasulullah SAW.”

Dalam hal ini beliau menggesa masyarakat untuk membuat penilaian berdasarkan apa yang berlaku.

“Kita perlukan pemimpin yang matang, yang dapat membawa kepada kemajuan keseluruhan dan memberi tauladan berguna kepada rakyat,” tegasnya lagi. -MediaUMNO