GaleriVideo

Tengku Adnan Alu-alukan Husam Di Putrajaya, Tapi….


PUTRAJAYA – Setiausaha Agung UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengalu-alukan mana-mana pihak untuk menjadi calon di Putrajaya bagi menentang Barisan Nasional (BN) termasuklah Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa.

Katanya, sebagai sebuah negara yang mengamalkan konsep demokrasi, mana-mana pihak bebas untuk memilih bertanding di mana sahaja termasuklah di Putrajaya.

“Kita bersikap demokrasi, siapa saja boleh datang bertanding tapi saya berkeyakinan yang nak datang bertanding dengan calon BN di sini adalah orang luar dari Putrajaya maka sudah pasti orang Putrajaya akan tolak orang luar,” katanya kepada UMNO-Online.

Dilaporkan, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada sidang media Selasa lalu mengumumkan Naib Presidennya, Husam akan bertanding di Putrajaya. Husam yang berasal dari Kampung Kota, Kota Bharu, Kelantan sebelum ini adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor.

“Siapa saja saya mengalu-alukan. Husam datang pun datanglah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian program Mesra Rakyat dan Sambutan Hari Lahir anggota UMNO Cawangan Bunga Kemuning, Rabu malam.

“Sebagai negara yang amalkan demokrasi siapa-siapa saja boleh bertanding di mana-mana saja tapi saya berkeyakinan bahawa pengundi Putrajaya akan tolak orang luar dari sini,” tegasnya.

Sebelum itu beliau mengingatkan penduduk tempatan untuk membuat penilaian berdasarkan aku janji BN yang bertemakan ‘Rakyat Didahulukan’ dengan manifesto pakatan pembangkang yang dianggap bukan janji.