Berita

Abai Politik Pembangkang, Perkukuh UMNO Dengan Bersatu, Bersetia, Berkhidmat

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru rakyat khususnya ahli-ahli UMNO agar menghayati perjuangan parti sebagaimana yang telah dicapai sejak 67 tahun yang lalu.

Beliau berkata demikian menjelang sambutan Hari UMNO yang diadakan sempena ulang tahun penubuhannya pada 11 Mei.

“Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) telahpun diketahui dengan Barisan Nasional (BN) kekal menerajui mandat pentadbiran negara setelah memenangi 133 kerusi Parlimen dengan UMNO memenangi kerusi terbanyak dan eningkatkan pencapaiannya daripada 79 kepada 88 berbanding PRU lalu,” katanya kepada UMNO-Online di sini.

Ujarnya, UMNO telah menjadi pelopor dalam perjuangan bangsa Melayu, menentang penjajah dan bertanggungjawab mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara setelah ia dicapai pada 31 Ogos 1957.

“Banyak yang tidak sedar bahawa undi kaum Melayu mengikut saluran berdasarkan PRU yang lalu menunjukkan bahawa mereka menyokong UMNO dan ini menunjukkan bahawa UMNO bukan untuk dulu dan kini tetapi untuk selamanya kerana ia adalah harapan orang Melayu dan juga bangsa Malaysia untuk menjaga kepentingan masa depan generasi akan datang.

“Memang kita telah menerima pelbagai tohmahan khususnya pembangkang yang mana mereka ini adalah orang-orang yang kecewa daripada UMNO setelah gagal mendapat tempat dalam parti, dan apabila keluar mereka membuat pelbagai tohmahan, fitnah dan desakan-desakan melalui demonstrasi jalanan.”

Tegasnya, di negara ini himpunan jalanan dan demonstrasi tidak sesuai kerana persekitaran rakyat namun ia telah dijadikan kesempatan oleh pembangkang untuk memainkan emosi untuk mencapai citarasa mereka.

“Rakyat Malaysia adalah masyarakat yang rasional dan kerana itulah mereka telah memberi semula mandat kepada BN untuk menerajui kerajaan dalam PRU-13 ini.”

Beliau turut membidas pakatan pembangkang yang menyalahkan SPR kononnya berlaku penyelewengan dalam PRU namun jika ia benar-benar berlaku maka tentunya pembangkang tidak ada wakil dalam Parlimen

“Sekiranya benar berlaku penyelewengan maka tentulah pembangkang tidak akan menang tiga buah negeri iaitu Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor. Malangnya di negeri-negeri terbabit mereka tidak menyalahkan kerajaan sebaliknya dinegeri yang mereka kalah mereka menuduh berlaku penyelewengan.”

Selaras dengan itu beliau yang telah berjaya mempertahankan Parlimen Putrajaya pada PRU lalu menyeru ahli-ahli UMNO agar terus tabah dan tidakterlibat dalam kancah permainan politik pembangkang yang mahukan huru-hara berlaku dalam negara.

“Kita mesti bersatu menyokong kepimpinan yang ada iaitu Datuk Seri Mohd Najib Razak dan seperti slogan UMNO itu sendiri iaitu kita mesti bersatu, bersetia dan berkhidmat kepada rakyat.”

Beliau turut menyarankan agar masyarakat tidak terpengaruh dengan permainan politik pembangkang sebaliknya kekal teguh menyokong perjuangan UMNO untuk bersatu, bersetia dan berkhidmat.