Berita

UMNO Bukan Rasis, Pembangkang Hipokrasi Paling Besar

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tindakan pemimpin pakatan pembangkang enggan menerima keputusan pilihan raya umum ke-13 yang berpihak kepada Barisan Nasional (BN) sebagai ‘hipokrasi yang sangat besar’.

Najib yang juga Presiden Umno menempelak pembangkang kerana boleh menerima keputusan yang menguntungkan mereka walaupun mendakwa sistem pilihan raya kali ini tercemar dan berlaku penipuan.

“Kalau sistem pilihan raya begitu tercemar, dinodai penipuan, kenapa angkat sumpah di Pulau Pinang, Kelantan dan tidak sabar-sabar mengangkat sumpah di Selangor? Kenapa terima (keputusan) di Permatang Pauh, Gelang Patah.

“Tetapi kalau sistem yang sama di peringkat negeri dan pusat…kalau yang menguntungkan mereka, (mereka) terima keputusan. Kalau memihak kepada BN, tidak diterima. Inilah hipokrasi yang paling besar,” katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-67 Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, malam ini.

Najib berkata sebagai pengamal demokrasi, pembangkang sepatutnya menerima keputusan rakyat berdasarkan sistem yang diterima pakai mengikut perlembagaan negara.

Perdana Menteri turut menegaskan Umno bukan parti rasis kerana ia sentiasa memberi keadilan kepada rakyat tanpa mengira kaum di negara ini.

Najib yang juga Presiden Umno berkata sejak ditubuhkan 67 tahun lepas, Umno menganggap bukan Melayu sebagai rakan kongsi dan akan tetap mempertahankan dasar yang sederhana, adil dan saksama kepada semua bangsa.

“Inilah formula terbaik Umno (keadilan kepada semua), bukan formula keterlaluan untuk memancing undi tetapi pada akhirnya memusnahkan negara Malaysia yang tercinta.

“Kita tidak akan benarkan politik sedemikian…opportunistic politics (politik oportunis)…kita tak akan benarkan kerana akhirnya akan menghancurkan segala-galanya yang telah dibina Umno dan Barisan Nasional (BN),” katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun Umno ke-67 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, malam ini.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, naib-naib presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Ketua Pergerakan Pemuda Khairy Jamaluddin, Ketua Pergerakan Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pergerakan Puteri Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Turut hadir bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta presiden parti-parti komponen BN.