Berita

Pengundi ibarat keluarga saya sendiri – Tengku Adnan

PUTRAJAYA – “Kekuatan saya terletak kepada hubungan rapat yang terjalin erat sejak sekian lama antara saya dan para pengundi yang rata-rata terdiri daripada penjawat awam, mereka lebih mengenali saya,” kata Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Setiausaha Agung UMNO itu memberitahu, sebagai orang lama, hubungannya dengan pengundi muda ibarat bapa dan anak manakala dengan yang senior tidak ubah seperti sahabat karib.

“Kami sudah biasa bergurau senda, buat macam-macam program bersama dan ada yang boleh tidur baring di rumah, selalunya kami duduk bersembang sampai larut malam, bercerita, bergelak ketawa dan saling tegur menegur.

“Semua ini dia (Datuk Husam Musa) tak tahu walaupun dia bawa satu gelombang kononnya Putrajaya akan jatuh ke tangan pembangkang berdasarkan kehadiran orang ramai dalam ceramah-ceramah anjurannya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tengku Adnan memberitahu, walaupun menerima kehadiran sehingga mencecah 25,000 orang pada ceramah anjuran pakatan pembangkang berbanding ceramah beliau yang dihadiri sekitar 4,000 hingga 5,000 orang, beliau tidak sedikit pun berasa gentar.

Beliau sebaliknya berbangga kerana siri ceramah Barisan Nasional (BN) dihadiri pengundi Putrajaya manakala kehadiran puluhan ribu ke ceramah pakatan pembangkang rata-ratanya adalah pengundi luar.

“Saya akui dalam ramai yang menyokong pembangkang itu, 10 peratus adalah pengundi saya. Tetapi yang penting apabila diminta membuat penerangan berkenaan Pas, siapa Pas sebenarnya, maka warga Putrajaya dapat membuka mata untuk menilai Pas sebenarnya bukan seperti yang digembar-gembur,” katanya.

Menurutnya, lagak Husam yang kononnya hendak menyelesaikan masalah sekolah agama di Putrajaya amat melucukan kerana sekolah rendah dan menengah agama rakyat sudah ada di Presint 9 dan 11 manakala sekolah menengah agama berasrama penuh di Presint 11 sedang dalam proses mendapatkan kelulusan.

Isu perumahan untuk kakitangan awam katanya, sudah lama diperjuangkan dan apabila proses pecah tanah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Husam mendakwa kerajaan mengambil idea beliau.

“Saya berterima kasih kepada para pengundi dan bersyukur kerana masih diterima sebagai wakil rakyat, walaupun Husam datang dengan imej Islam hakikatnya dia tidak tahu bahawa saya sudah arahkan surau-surau diimarah dengan program pengajian tiga kali seminggu,” katanya.

Tengku Adnan juga percaya para pengundi semakin bijak untuk menilai dan tidak mudah dipermainkan oleh mereka yang menaburkan pelbagai janji manis.

Menurutnya lagi, Putrajaya akan terus dipantau dari semasa ke semasa bagi mengelak daripada dirosakkan oleh pengundi-pengundi luar.

Mengulas lanjut pertembungannya dengan Naib Presiden Pas itu, beliau berkata, selepas dua penggal menjadi wakil rakyat, Pas mungkin tidak menyangka beliau akan sekali lagi dicalonkan untuk penggal ketiga.

“Mereka ingat senang nak makan tapi terperangkap bila tersalah baca, Perdana Menteri lebih tahu siapa calon yang boleh mempertahankan kerusi-kerusi tertentu. Sebab itu saya dicalonkan semula, terima kasih kepada Perdana Menteri dan pengundi di Putrajaya kerana terus memberi kepercayaan kepada saya,” katanya.