Tengku Adnan Sampaikan Hadiah Tutup Tirai ‘Magic Of The Night’
PUTRAJAYA – Perarakan bot berhias yang bermandikan limpahan cahaya dan pertunjukan bunga api menutup tirai ‘Magic of the Night’ selepas menghiburkan pengunjung selama sembilan hari dengan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyampaikan hadiah berupa trofi dan sijil penyertaan kepada pemenang.
Lebih menarik, Perbadanan Putrajaya (PPj), yang menampilkan konsep Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, menjuarai perarakan bot berhias apabila menewaskan 13 pasukan lain dengan pelbagai tema dan replika menarik selain mewarnai Tasik Putrajaya di sini.
Bot berhias PPj menjadi pilihan penonton dan juri khas apabila menampilkan gubahan bangunan yang unik serta struktur menarik yang terdapat di sini seperti Jabatan Perdana Menteri, Jambatan Seri Wawasan dan Masjid Tuanku Mizan.
Bot berhias Sabah, yang menampilkan haiwan popular Monyet Belanda, menduduki tempat kedua manakala pasukan Suzhou dari China di tempat ketiga.
Penganjuran ketiga Magic Of The Night yang bertema ‘Colour of Harmony’ itu berjaya menarik perhatian pengunjung ke Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan bagi menyaksikan perarakan bot berhias berkenaan sejauh tiga kilometer.