50,000 Ceriakan Rumah Terbuka Aidilfitri
PUTRAJAYA – Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berlangsung malam tadi, 6 Sept 2013 (Jumaat) di Laman 1Malaysia, Presint 2 berlangsung meriah dengan kehadiran sekitar 50,000 masyarakat pelbagai bangsa dari pelbagai latar belakang hadir bersama memeriahkan majlis tersebut.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersama isteri Datin Seri Aggriani Sentiyaki beramah mesra bersama tetamu termasuklah memberikan sumbangan kewangan kepada 2,000 golongan yang kurang berkemampuan dan golongan orang kurang upaya.
Biarpun majlis sambutan rumah terbuka tersebut dijadualkan bermula jam 8.00 malam dan dijangka berakhir jam 11.30 malam namun para tetamu dan orang ramai sudah memenuhi ruang seawal pukul 6.00 petang dan hanya berakhir pada pukul 12.00 malam.
Keunikan utama majlis tersebut adalah terhasil dengan sokongan badan swasta seperti SP Setia, PNB, PLUS, Sogo dan pelbagai lagi yang bersama-sama memberikan sumbangan makanan seperti kambing, aiskrim, makanan jepun dan pelbagai minuman untuk khalayak. Gabungan ini secara tidak langsung membuktikan jalinan akrab antara kerajaan dan badan swasta serta keutuhan untuk mewujudkan perpaduan dan permuafakatan dalam masyarakat.