Sayangi UMNO, Tunaikan Amanah Agama, Bangsa dan Tanah Air
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam 1Malaysia.
Alhamdulillah, Syukur kepada Allah SWT kerana sehingga ke hari ini pelaksanaan pemilihan UMNO berlangsung lancar yang bermula dari mesyuarat peringkat cawangan, proses pengambilan borang dan kemudiannya proses pendaftaran sebagai calon untuk kepimpinan UMNO. Sememangnya, saya amat berterima kasih kepada ahli-ahli UMNO Putrajaya yang terus menyokong kepimpinan saya sebagai Ketua Bahagian UMNO Putrajaya. Kepercayaan yang diberikan adalah amanah dan tanggungjawab yang mesti saya tunaikan iaitu selaras dengan perjuangan UMNO demi memperkasakan agama, bangsa dan Negara.
Kepada yang mencalonkan diri, selamat maju jaya dan letakkanlah agenda untuk rakyat keseluruhannya sebagai matlamat utama berbanding agenda peribadi sementara kepada para perwakilan dan ahli-ahli UMNO yang layak mengundi maka gunakanlah peluang yang ada bagi menentukan kepimpinan parti terus marak dengan mereka yang benar-benar mampu melaksanakan tanggungjawab diletakkan ditempat utama.
Sayangi Putrajaya, Perkukuh UMNO Demi Islam, Bangsa Melayu dan Bumi Bertuah Malaysia.
Datuk Seri Tengku Adnan Bin Tengku Mansor