BeritaUcapan

Salam Maulidur Rasul 1435H, Jadikan Rasulullah Contoh Terbaik

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Sempena 12 Rabiulawal, iaitu tarikh yang amat bererti bagi kita sebagai umat Islam kerana pada tarikh tersebut lahirnya junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang membawa risalah Allah SWT, menunjukkan kita sekalian kepada jalan yang mendapat keredhaan Allah SWT.

Sehubungan itu, marilah kita bersama-sama menghayati peribadi Rasulullah SAW untuk dijadikan panduan dan pedoman. Nabi Muhammad SAW adalah idola dalam melaksanakan segala tanggungjawab dan amanah yang diberikan.

Baginda menunjukkan contoh terbaik untuk diikuti, sebagai seorang pemimpin yang sangat bertanggungjawab, menjadi utusan Allah di muka bumi tanpa rasa riak atau angkuh diri, pemimpin masyarakat yang sangat adil, ketua keluarga dan sahabat kepada kenalannya.

Marilah sama-sama kita bersyukur kerana kita tergolong dalam kalangan umat Nabi Muhammad SAW sedangkan jika tidak, tentunya kita tidak akan berada dalam kelompok masyarakat yang sesat hari ini.

Justeru, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Maulidur Rasul 1435 H kepada seluruh warga Putrajaya. Jadikanlah Baginda Rasulullah SAW sebagai sandaran dalam melaksanakan amanah apatah lagi kita sebagai sebuah bangsa yang mempunyai jati diri dan ketahanan maka tentunya kita akan mampu berfikir secara kritikal khususnya berkaitan pelbagai perkara dan mengaplikasikan akhlak dan kemuliaan Rasulullah S.A.W dalam diri kita.

Salawat dan salam buat junjungan besar kita, Rasulullah SAW.

TENGKU ADNAN TENGKU MANSOR
Ahli Parlimen/Ketua UMNO Bahagian Putrajaya