Berita

Bersama Perkukuh Persaudaraan, Pelihara Kesejahteraan

PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru masyarakat agar menghayati titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dalam perutusan Baginda sempena sambutan Maulidur Rasul yang mahukan umat Islam di negara ini sentiasa berusaha memperkukuh persaudaraan serta mengharmonikan pandangan yang berbeza dalam menilai sesuatu perkara.

Beliau yang bersama-sama isteri, Datin Seri Anggeriani Sentiyaki turut menghadiri sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan yang bertemakan ‘Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’ di Masjid Putra hari ini, 14 Jan.

Sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini, Tuanku Abdul Halim menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama mengekal dan memperkukuhkan perpaduan dan membina kekuatan ummah bagi memajukan agama, bangsa dan negara.

Dalam titahnya, Seri Paduka Baginda menekankan perpaduan wajib dipupuk dan diperteguh agar umat Islam tidak dipandang rendah oleh musuh yang sentiasa berusaha meneruskan agenda mereka yang tersendiri.

Tuanku Abdul Halim bertitah sikap umat Islam yang lebih cenderung untuk terus berpolemik dalam perkara remeh-temeh hanya memberi imej buruk kepada ummah yang dilihat sebagai tidak matang dan gagal menguasai pelbagai bidang ilmu.

Sambutan tersebut turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, para menteri Kabinet dan perwakilan negara luar.

Tuanku Abdul Halim bertitah perkara asas dalam ajaran Islam dan pendekatan yang digunakan oleh Rasulullah adalah kesederhanaan dan keseimbangan atau wasatiyyah dalam beramal.

Baginda bertitah Nabi Muhammad S.A.W. juga berjaya membuang tabiat buruk dan budaya fanatik dalam kalangan masyarakat dan menggantikannya dengan budaya toleransi dan saling memahami antara satu sama lain.

1098024_574177082670288_16379699_n

1525259_574177132670283_2068717191_n

1545120_574177042670292_453578668_n