Berita

Husam Tertinggal Keretapi… Cuba Cari Publisiti Murahan Di Putrajaya

PUTRAJAYA – Kemunculan bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa ke Putrajaya baru-baru ini dengan mengetengahkan isu-isu tempatan dan berucap di khalayak ramai dianggap sebagai cuba menjadi hero yang tertinggal keretapi.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Senator Datuk Khairuddin Samad melihat Husam ibarat ‘gila talak’ lantaran kembali ke Putrajaya walhal penduduk tempatan telah lama menolak mereka termasuklah dalam pilihan raya umum yang lalu.

“Husam datang ke sini dengan cuba mengetengahkan isu-isu tempatan sedangkan sebenarnya isu-isu yang diucapkannya di depan orang ramai semalam telah pun ditangani oleh Ahli Parlimen, Datuk Seri Tengku Adnan tetapi malangnya Husam tidak tahu kerana dia orang luar,” katanya.

Bidas beliau lagi, kesilapan besar telah dilakukan oleh Husam yang membawa politik negatif di Putrajaya iaitu menyebut berkaitan kemudahan di sini sedangkan masyarakat lebih arif siapa yang benar dan sebaliknya lantaran Husam hanya tahu menuding jari.

“Sebagai pemimpin politik pun Husam dah gagal apatah lagi cuba nak menawan Putrajaya sedangkan rakyat dapat menilai sendiri bagaimana Husam tidak mendapat tempat pun dalam parti yang diwakilinya iaitu Pas dan hari ini dia datang ke sini untuk merosakkan keharmonian,” katanya.

Dalam hal ini, Ketua Pergerakan Pemuda Putrajaya, Ahmad Faisal Abdul Karim turut menganggap kedatangan Husam ke Putrajaya dan memberi ceramah di tempat awam sebagai mencari populariti.

“Di Kelantan secara jelas bahawa kepimpinan Husam ditolak, bukan hanya dari rakyat di situ tetapi juga dari para pemimpin partinya maka semalam dia muncul di Putrajaya seakan mahu mengembalikan popularitinya yang semakin tenggelam dalam arus politik.

“Apa yang memalukan, Husam bercakap soal kemudahan awam, pengangkutan awam, isu tempat letak kereta dan juga isu Hard Rock Cafe sedangkan semua perkara terbabit sudah dianggap selesai kerana pemimpin Putrajaya sentiasa memahami permasalahan rakyat.”

Tegas beliau, Husam adalah orang luar yang tidak tahu perkembangan semasa dan kemudiannya muncul di tempat awam, mengadakan ceramah dan bercerita hal-hal yang telah pun diselesaikan.

“Jika dilihat dari sudut perundangan pun Husam dah melanggarnya kerana mengadakan ceramah di tempat awam tanpa sebarang permit apatah lagi dilihat kepada isu-isu yang diketengahkannya dalam ceramah.”

Antara lain, Husam turut menyebut untuk membuka sekolah beraliran agama Islam sekiranya Pas mendapat tempat.

“Dia orang luar, tak tahu apa-apa yang berlaku sedangkan, di Putrajaya telah wujud dua sekolah agama iaitu di Presint 9 dan Presint 11 yang dibangunkan hasil perjuangan kepimpinan UMNO,” tegasnya.

Jelas beliau, seakan terdesak, Husam kembali ke Putrajaya apabila rakyat Kelantan menolaknya dan Pas sendiri meminggirkan beliau tanpa sebarang kepentingan.

“Husam tak tahu isu tempatan, tak tahu kehendak rakyat Putrajaya, buat apa dia datang ke sini kerana bukankah lebih elok jika dia perbetulkan dahulu tempatnya sendiri dan Negeri Kelantan sebelum datang ke tempat orang.” – MediaUMNO

IMG-20140112-WA0001

Untitled-2 (2)