Ucapan

Teks Ucapan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor Sempena Hari Wilayah Persekutuan

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Dan Salam Sejahtera

1. Mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Mu’tasimubillahi Muhibbuddin, Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah, Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah

Mengadap Seri Paduka Baginda, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajjah Haminah.

Ampun Tuanku
Sembah Patik Mohon Diampun

2. Pada hari yang penuh istiadat dan bersejarah ini, patik bagi pihak seluruh warga Wilayah Persekutuan, dengan hati yang tulus ikhlas, merafakkan sembah menjunjung kasih, di atas titah dan ampun perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku untuk mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan.

3. Patik sekalian mengangkat sembah takzim di atas ampun perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong untuk mencemar duli bagi menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2014 yang berlangsung pada hari ini. Keberangkatan Seri Paduka Baginda Tuanku berdua, ke majlis yang indah dan penuh gilang-gemilang ini amat besar maknanya buat patik dan seluruh warga Wilayah Persekutuan.

Ampun Tuanku,

4. Pada hari ini, 1 Februari adalah tarikh penubuhan gagasan Wilayah Persekutuan. Bersempena dengan sambutannya, tema kali ini ialah ‘Wilayah Persekutuan Ceria’ atau ‘Cheerful Federal Territories’. Tema ini dipilih lantaran sedar dengan keresahan warga Wilayah Persekutuan khususnya di Ibu Kota Kuala Lumpur yang berdepan dengan pelbagai kekangan kehidupan, yang antaranya kesesakan lalu lintas, masalah keselamatan, peningkatan kos hidup dan bencana banjir kilat.

5. Justeru, matlamat untuk memastikan Wilayah Perseketuan Ceria adalah keutamaan dengan kerajaan sentiasa berusaha menyelami kegelisahan rakyat agar ia dapat diatasi dengan langkah-langkah yang telah, sedang dan akan diambil. Patik dan seluruh warga kementerian patik sentiasa berusaha bagi memikul tugas dan amanah yang telah diberi ke atas patik oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak selepas pilihan raya umum yang lalu.

Ampun Tuanku,

6. Untuk Makluman Tuanku, patik sedar bahawa Wilayah Persekutuan ini adalah gerbang kepada Malaysia dan dunia yang akan menjadi perhatian di persada antarabangsa. Kemakmuran, keamanan dan kemajuan negara tercermin dengan kelestarian Wilayah Persekutuan. Sehubungan itu, adalah menjadi tanggungjawab patik dan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk memastikan perkara-perkara negatif yang boleh mencemar negara tidak berlaku.

7. Biarpun sebelum ini ada beberapa cubaan dari pihak-pihak tidak bertanggungjawab untuk mengadakan demonstrasi di Ibu Kota namun alhamdulillah kerana mereka yang bersifat democrazy ini tidak mendapat ruang dan gagal menguasai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur khususnya di Dataran Merdeka untuk dijadikan seperti Dataran Tahrir. Dalam kesempatan ini, patik ucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak berkuasa tempatan, anggota polis dan pasukan keselamatan serta seluruh rakyat Wilayah Persekutuan yang terus memberikan sokongan kepada kerajaan dan memahami betapa pentingnya keamanan dalam pembinaan sebuah negara bangsa.

Ampun Tuanku,

8. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, patik sentiasa berusaha untuk memastikan setiap warga Wilayah Persekutuan mendapat pembelaan tanpa sebarang keciciran. Menerusi kementerian patik, usaha berterusan dibuat dengan turun padang, bergerak sederap merasai beratnya bahu memikul, menyelami kesulitan dan kemudian menyalurkan bantuan dan pertolongan. Gerakan serampang dua mata diatur dengan projek berimpak tinggi dibuat tanpa meninggalkan program-program berskala kecil. Pembangunan dan kemajuan dilaksanakan tanpa meminggirkan rakyat. Setiap program yang dilaksana adalah berteraskan mendekati kehidupan rakyat dalam aspirasi untuk bersama-sama menyelami permasalahan dan merasai denyut nadi warga Wilayah Persekutuan.

9. Dalam hal ini, suka patik nyatakan bahawa projek-projek yang memberi manfaat kepada rakyat berlangsung lancar, antaranya ialah inisiatif NKEA Greater Kuala Lumpur/Klang Valley membabitkan River of Life, Pedestrian Walkway, Heritage Trails, Greener Kuala Lumpur dan Myrapid Transit (MRT). Turut dilaksanakan ialah Dasar Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) bagi membolehkan golongan muda di kota dapat membeli rumah pada harga berpatutan dengan sasaran 80,000 unit untuk lima tahun yang akan datang.

10. Begitu juga pembangunan Kampung Baru yang digerakan melalui Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang telah ditubuhkan pada 1 September 2012 lalu. Dalam masa yang sama kerja-kerja naik taraf melibatkan kemudahan awam turut dibuat sebagaimana surau, dewan orang ramai, pusat aktiviti masyarakat, tempat permainan kanak-kanak, naik taraf jalan-jalan, pembinaan wakaf dan kerja-kerja fizikal yang berskala kecil lain.

11. Kementerian patik juga mempunyai inisiatif dalam menjayakan pelbagai acara bertaraf antarabangsa yang secara tidak langsung menaikkan imej Malaysia di mata dunia, apatah lagi tahun 2014 ini adalah Tahun Melawat Malaysia. Ini selari dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai wajah Ibu Kota Malaysia, Putrajaya selaku Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang mempunyai ciri-ciri bandar contoh yang unik dan Labuan berstatus Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa serta pusat perkembangan industri minyak dan gas.

Ampun Tuanku,

12. Dalam melaksanakan pembangunan untuk kemajuan, patik telah melakukan penaksiran semula nilai sewa tahunan hartanah di Ibu Kota Kuala Lumpur yang mana perkara ini tidak pernah dibuat sejak 21 tahun yang lalu, Ini dilakukan supaya nilai hartanah di Kuala Lumpur mendapat nilaian yang sebenar dan juga untuk memberi rakyat nilaian harga hartanah mereka setara dengan harga nilaian semasa. Kenaikan tersebut bukanlah untuk membebankan warga Kota sebaliknya ia memberi manfaat kepada rakyat keseluruhan. Malangnya, dalam hal tersebut ada pihak-pihak yang mengambil kesempatan lantas dimanipulasikan untuk kepentingan agenda politik mereka.

13. Namun, syukur alhamdulillah, rakyat bersifat matang dan tidak mengambil jalan pintas dan mereka diberi peluang untuk menyatakan persetujuan terhadap nilaian yang baru. Patik, selaku pentadbir Wilayah Persekutuan tidak akan sesekali dengan sengaja membuat onar dan menyusahkan warga keseluruhan, malah patik berjanji apa-apa jua keputusan yang akan patik laksanakan akan mengambil kira kepentingan rakyat dan keselesaan semua pihak. Sesungguhnya, dalam apa jua amanah yang ditunaikan, keutamaan adalah kepada kesejahteraan rakyat tanpa mengambil kira kepentingan-kepentingan yang lain.

14. Dalam masa yang sama, patik dan warga Wilayah Persekutuan turut mendukung konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang menjadi gagasan kerajaan pusat bagi memupuk perpaduan, apatah lagi warga Wilayah Persekutuan terdiri dari pelbagai kaum yang mempunyai perbezaan agama dan budaya. Dikesempatan ini, patik mengambil kesempatan untuk mengucapkan Qong Xi Fa Cai kepada semua kaum cina di Wilayah Persekutuan.

15. Patik percaya, atas kesatuan dalam kepelbagaian, penerusan agenda bagi membina negara terus diterapkan dengan mengambil kira kepentingan setiap warga dalam Wilayah Persekutuan. Ini kerana, kerajaan yang ada hari ini didukung oleh rakyat, untuk rakyat dan kerana rakyat.

Ampun Tuanku,
Sembah Patik Mohon Diampun,

16. Tahun ini juga merupakan tahun ketujuh Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan yang membabitkan seramai 320 penerima. Adalah menjadi harapan kerajaan supaya anugerah ini akan menaikkan semangat sekalian warga untuk terus mencurah khidmat dan bakti ke arah kemajuan Wilayah Persekutuan.

17. Patik bagi pihak semua anggota pentadbiran, pegawai dan kakitangan kerajaan dan swasta, badan bukan kerajaan, persatuan penduduk dan seluruh rakyat jelata dengan penuh hormat dan takzim menyampaikan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Seri Paduka Baginda Tuanku.

18. Patik sekalian memanjatkan doa semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala melanjutkan usia dan melimpahkan rahmat-Nya ke atas Seri Paduka Baginda Tuanku Berdua.

Sekian
Ampun Tuanku beribu ampun, Sembah patik harap diampun.