Rencana

Takziah Mohd Zaidi Masri Atas Pemergian Bayinya

PUTRAJAYA – Kepimpinan UMNO Putrajaya turut bersedih dan mengucapkan takziah kepada Mohamad Zaidi Masri dan keluarga yang kehilangan anak tunggalnya, Muhammad Niyyaz Firash Mohamad Zaidi yang berusia tiga bulan dipercayai meninggal dunia akibat tersedak susu.

Dilaporkan, dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1.20 petang semalam (4 Mac), Muhammad Niyyaz Firash dihantar ke rumah pengasuh oleh ibunya dalam keadaan sihat, namun kemudiannya, isterinya menerima panggilan telefon daripada pengasuh yang memaklumkan muka Muhammad Niyyaz Firash kelihatan pucat dan mengalami sesak nafas.

“Dia terus bawa anak saya ke Unit Kecemasan Hospital Putrajaya dan pada pukul 2.30 petang saya diberitahu oleh doktor bahawa Muhammad Niyyaz Firash telah meninggal dunia.

“Hasil pemeriksaan awal doktor memaklumkan anak saya tersedak susu kerana terdapat sejumlah susu di bahagian paru-paru, bagaimanapun itu hanya jangkaan awal kerana keputusan bedah siasat belum dikeluarkan,” katanya.

Beliau yang bertugas sebagai seorang guru memberitahu, anaknya dijaga oleh pengasuh kerana taska tidak mengambil bayi yang berumur tiga bulan.
Jenazah Muhammad Niyyaz Firash dikebumikan di tanah Perkuburan Islam Presint 20 malam tadi.

AJK Biro Kebajikan UMNO Bahagian Putrajaya telah menziarahi jenazah Muhammad Niyyaz Firash di bilik mayat Hospital Putrajaya sebaik mendapat berita sedih tersebut.

Turut serta ialah Ketua Biro Agama, Tuan Haji Alias. UMNO Putrajaya turut menghulurkan sumbangan kepada Mohd Zaidi dan memberikan sokongan moral kepada beliau agar terus tabah berdepan dugaan.

Semoga Mohamad Zaidi dan keluarga diberikan kekuatan berdepan kehilangan anak tersayang serta roh Muhammad Niyyaz Firash ditempatkan bersama-sama orang beriman di sisi-Nya. Al-Fatihah.

IMG-20140304-WA0034