Jadikan Putrajaya Satu Keluarga Besar, Syukuri Nikmat Kesejahteraan
PUTRAJAYA – Warga Putrajaya diseru untuk mengaplikasikan kebersamaan dengan memanfaatkan setiap ruang bagi menyemai semangat kekeluargaan dalam masyarakat. Ahli Parlimen tempatan merangkap Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mahukan setiap individu untuk mensyukuri nikmat yang dikecapi hari ini termasuklah kesejahteraan dan kebebasan dalam melakukan pelbagai aktiviti tanpa ada rasa gelisah dan takut sebagaimana dihadapi oleh negara bergolak.
“Putrajaya adalah sebuah bandar terancang yang termaju di negara ini dan menjadi contoh serta tumpuan kepada masyarakat tempatan, justeru marilah kita sama-sama nilai kembali bagaimana bertuahnya kita dapat bersama-sama bermasyarakat di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan hadiah hari lahir kepada pengundi Cawangan Bunga Matahari, Bunga Jenjarum, Bunga Iris, Bunga Kenanga dan Bunga Dedap di Presint 9 pada 18 April 2014 (Jumaat).
Majlis tersebut turut disertai isteri beliau, Datin Seri Anggriani Sentiyaki yang bersama-sama menyampaikan cenderahati kepada seramai 145 orang yang diraikan di Dewan Serbaguna Presint 9.
Dalam kesempatan ini, Tengku Adnan dan isteri mengucapkan terima kasih kepada para penduduk yang telah sudi memeriahkan majlis dalam komuniti yang akrab dan berdoa semoa semua warga tempatan akan terus dikurniakan keamanan hingga ke akhir hayat.
You must be logged in to post a comment.